Dikongsikan cdgn teks khutbah untuk Solat Jumaat pada 13 Mei ini. 15 Mei 2022 ialah ulangtahun tragedi Nakbah yg ke 73
- Teks
Khutbah Sempena Memperingati Peristiwa Nakbah yang ke 73
(15 Mei 2022)
اَلْحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى
الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ
وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا
بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ
إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Khatib mengajak semua pada hari Jumaat yang mulia dan bulan
Shawal yang barokah ini untuk mempertingkatkan hubungan dengan Allah S.W.T,
dengan muhasabah diri dan menghisab diri sendiri apakah kita telah memenuhi
tuntutan untuk bertaqwa kepada Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada 15 Mei 2022 genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang
ke 73. Ia merujuk kepada peristiwa pengusiran rakyat Palestin seramai 800,000
dari rumah-rumah mereka oleh pengganas-pengasas zionis. Pelan Dalet yang
dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa dengan sokongan dari kuasa-kuasa
besar Amerika, Britain dan Eropah bertujuan untuk merampas bumi Palestin dan
dengan segera memindahkan bangsa Yahudi ke rumah-rumah penduduk Palestin yang
lari untuk menyelamatkan diri dari pembunuhan kejam. Lebih dari 30 siri
pembunuhan beramai-ramai, seperti peristiwa Deir Yassin pada bulan April 1948,
telah dilakukan oleh pengganas-pengganas Zionis seperti Haganah yang diketuai
oleh Menachem Begin yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Israel pada tahun
80’an.
Dengan penuh biadap mereka mengistiharkan 15 Mei sebagai ‘Hari
Kemerdekaan Israel’ dan menipu sejarah dengan mendakwa mereka telah menang
dalam peperangan ke atas orang Palestin untuk kembali ke Zion, tanah yang
dijanjikan oleh Tuhan ke atas orang-orang Yahudi. Mereka namakan peperangan ini ‘The War of
Independence’ (peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) sedangkan hakikatnya
ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah
air mereka. Akibat dari aksi-aksi terror oleh gerombolan bersenjata
Yahudi Zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan
meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat,
Jordan, Mesir dan Semenanjung Gaza. Di Gaza sahaja 2 juta penduduk dikepung
oleh tembok kematian ‘Jaridul Maut’ oleh Zionis Israel sejak 16 tahun
yang lalu. Di samping itu terdapat 7 juta rakyat Palestin yang menjadi pelarian
di pelbagai negara Arab dan tersebar ke seluruh dunia sejak tiga generasi yang
lalu sejak berlakunya peristiwa Nakbah.
Ulang tahun peristiwa Nakbah beberapa tahun kebelakangan ini
mendapat perhatian dari masyarakat antarabangsa. Pandangan masyarakat
antarabangsa yang mula memihak kepada perjuangan rakyat Palestin. Sebelum ini
rata-rata masyarakat antarabangsa khususnya di barat mempertahankan apa juga
tindakan biadap Israel termasuk melakukan serangan dan membunuh rakyat Palestin.
Kini Israel berhadapan dengan cemuhan
dan bantahan rakyat awam dan pemimpin dunia. Jika dahulu rakyat Palestin
dilihat sebagai pengganas dan musuh kepada proses damai dan ancaman kepada
keamanan di Timur Tengah, kini Israel yang digelar sebagai rogue state
atau negara penyangak. Situasi yang digambarkan oleh guru sejarah Barat
terunggul Arnold Toynbee mungkin tidak lagi benar.
“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di
tempat-tempat lain. Masalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang
melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari
mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”
Tindakan biadap Israel mengepung Gaza setelah penduduk
Palestin diberikan hak untuk memilih wakil-wakil mereka di dalam Pihak Berkuasa
Palestin, dan kemudian melancarkan siri serangan besar-besaran tahun 2008 –
2009, 2012, 2014 dan 2021 telah membuka mata masyarakat dunia. Gaza yang
dikepung dijadikan lapangan sasar untuk membunuh rakyat awam yang tidak
bersenjata. Seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang
terbesar pernah disaksikan.
Protes besar-besaran yang dianjurkan di seluruh dunia
terutama di kotaraya Eropah dan Amerika Syarikat telah mencetuskan usaha
tersusun untuk membantu rakyat Palestin. Seruan untuk memulau dan memboikot
Israel diterajui di peringkat global telah dilancarkan oleh BDS dan inisiatif
lain yang disambut oleh rakyat dipelbagai negara termasuk Jepun, Korea Selatan,
New Zealand, Australia, Amerika, UK dan Kesatuan Eropah. Malaysia juga tidak
ketinggalan untuk menyertai kempen BDS di peringkat antarabangsa dengan
menubuhkan cawangannya pada tahun 2017. NGO yang memperjuangkan hak rakyat
Palestin mula membentuk jalinan dan mengkoordinasi bantuan di peringkat
antarabangsa. Kerjasama ini akhirnya membuahkan tekad untuk memecahkan tembok kepungan
Gaza melalui melalui misi-misi kemanusiaan seperti Freedom Flotilla (Mavi
Marmara), az Zaytuna, FFC dan sebagainya.
Penderitaan rakyat Gaza tidak mungkin tergambar dengan
kata-kata. Bekalan makanan terpaksa dicatu dan bekalan ubat-ubatan terputus sama
sekali. Hampir 90% bekalan air bersih terputus dan mereka terpaksa menggunakan
air yang tidak dirawat. Hampir 80% dari kanak-kanak Gaza mengalami kekurangan
zat makanan dan lebih 50% hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Yakinlah bahawa perjuangan untuk pembebasan bumi Palestin,
Baitul Makdis dan Masjid al-Aqsa akan diterajui sendiri oleh Allah S.W.T. Allah
S.W.T akan menggerakkan jundi-jundi (tentera-tenteranya) untuk
menghadapi musuh-musuh Allah dan umat Islam. Allah S.W.T akan menggerakkan dhamir
umat manusia meskipun mereka dari kalangan bukan Muslim untuk bersama mendokong
misi yang mulia ini.. Semuga Allah menguatkan hati mereka dan hati kita semua
kepada Islam dan perjuangannya. Semuga Allah memenangkan Islam dan menjayakan
misi ini.
“Ya Allah! Bantulah kami”
وَمَا
لَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ
وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـذِهِ
الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل
لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
4:75
"Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang
yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa:
Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan
berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi
Engkau!."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita diperingatkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran
وَالْمُؤْمِنُونَ
وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ
عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ
وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
9:71
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka
(adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh
(mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang,
menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan
diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana."
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, dia
tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Sesungguhnya membantu saudara seIslam yang diserang,
dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya
adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan ukhuwah di dalam Islam
tidak mengenal batas-batas negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorang
itu mengucap kalimah syahadah, maka dia adalah saudara dalam Islam yang wajib
dibela dan dipertahankan. Jika dia disakiti dan dianiaya, menjadi tanggungjawab
umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan
tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas
dirinya. Ini adalah kerana Rasulullah S.A.W bersabda yang membawa maksud:
“Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh
merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur
malam.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Atas rasa tanggungjawab dan prihatin yang amat mendalam
terhadap kezaliman yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin, khatib mengesyorkan
agar umat Islam menghulurkan bantuan materi dan sokongan moral kepada suadara-saudaranya
di Palestin. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah S.W.T agar umat Islam
berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka. Firman Allah S.W.T dari surah as
Saff;
يَـٰٓأَيُّہَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ
أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ
بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
(١١)
“Wahai
orang yang beriman, sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat
menyelamatkan kamu dari seksa api neraka? Iaitu kamu beriman dengan Allah dan rasulNya,
dan berjihad pada jalanNya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah
yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (As-Saff: 10-11)
Akhirnya khatib ingin mengingatkan umat Islam bahawa
kezaliman dan penganiayaan itu menimpa bumi yang diberkati, bumi para nabi,
bumi isra’ dan mikraj, dan bumi di mana terletaknya Masjid al Aqsa yang
dimuliakan Allah S.W.T di samping Masjid al Haram dan Masjid an-Nabawi.
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ
مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ
هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ
لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ
الرَّحِيْمُ.
Disediakan oleh
Dr Hafidzi Mohd Noor
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
Comments
Post a Comment