Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: Siri II. Kemangkatan Sultan Mahmud III: Krisis waris Kesultanan 2.0 dam Kemunculan Raffles

 

Krisis Kesultanan Johor dengan kemangkatan Sultan Mahmud III.

Sultan Mahmud Ri’ayat Shah III adalah Sultan Johor yang ke 15 (memerintah 1770 – 1811). Kemangkatan Sn Mahmud III Johor pada tahun 1811 mencetuskan krisis dalam besar dalam pewarisan takhta kerajaan Johor. Tempat baginda sepatutnya diganti oleh Tengku Long (putera sulung Sultan Mahmud); yang pada saat itu berada di Pahang kerana menghadiri perkahwinannya. Disebabkan protokol perlantikan pengganti Sultan mesti hadir pada pengkebumian jenazah Sultan, maka Yamtuan Muda Jaafar (yang memegang kuasa perdagangan dan ketenteraan di kepulauan Riau dan perairan selatan Johor) telah melantik Tengku Abdul Rahman, putera sultan Mahmud III yang kedua (berlain ibu – keturunan Bugis) sebagai Sultan.[1]

Tengku Long Kembali ke Johor dan cuba menuntut takhta yang menjadi haknya tetapi dihalang oleh Yamtuan Muda Jaafar yang mendapat dokongan kuat dari Belanda atas perlantikan Tengku Abdul Rahman. Tengku Abdul Rahman sendiri berhasrat untuk menyerahkan takhta kepada Tengku Long kerana baginda lebih berminat dengan urusan ibadah dan mempunyai keperibadian yang wara’. Bonda kepada Tengku Abdul Rahman yang juga merupakan adinda kepada Yamtuan Muda Jaafar juga tidak bersetuju dengan perlantikan anakandanya sebagai pengganti Sultan. Namun atas dasar kepentingan pengaruh dan kedudukan disamping tunduk kepada persetujuan untuk memberi hak perdagangan kepada Belanda di Kepulauan Riau, maka Yamtuan Muda tidak berganjak dari keputusannya.[2] Adapun Tengku Long yang diketepikan telah berlindung di Pulau Karimun yang merupakan pulau yang terletak pada laluan Selat Melaka di bahagian selatan.

Kemunculan Stanford Raffles

Krisis di Istana Johor berbetulan pula dengan pergolakan geopolitik di Eropah iaitu pecahnya perang di antara Peranchis dan Belanda. Peranchis yang juga merupakan pesaing British telah menakluk Belanda.  Dari tahun 1811 sehingga 1816, VOC (Syarikat Hindia Timur Belanda) telah menyerahkan semua kepentingannya di timur jauh kepada EIC (Syarikat Hindia Timur British) sebagai proksi Belanda yang telah dikuasai oleh Peranchis di bawah Napoleon Bonarparte. Ini termasuklah Sumatera, Kepulauan Riau, Kalimantan Selatan dan Pulau Jawa. British telah mengirim tentera di bawah komandan Stanford Raffles untuk merebut Batavia (Jakarta) dan Jawa Timur dari penguasaan Peranchis. Perlu direkodkan bahawa Raffles telah terlibat dalam pembakaran kraton di Jokjakarta dan tindakannya menenggelamkan jong di Sungai Palembang yang membawa tawanan orang Belanda dan rakyat tempatan. Raffles juga cuba memindahkan penduduk Sumatera ke Kalimantan dengan paksaan. Itulah antara jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Raffles sepanjang karriernya di tanah jajahan Belanda.[3]

Ekoran dari kekalahan Peranchis (Napoleon Bonarparte) dalam pertempuran Waterloo pada tahun 1815 kepada British (Duke of Wellington), maka ancaman Peranchis dapat dibendung dan sebagaimana yang dijanjikan tanah jajahan Belanda akan dikembalikan kepada VOC. Dengan perkembangan ini Stanford Raffles merasakan bahawa British akan hilang sebarang kawalan ke atas lalu lintas perdagangan yang menghubungkan Tanjung Pengharapan (Cape of Good Hope/hari ini CapeTown) dengan Laut China Selatan apabila kepulauan Riau dikuasai oleh Belanda sepenuhnya. Hasrat Raffles untuk membina pengkalan di Kepulaun Riau tidak disokong oleh London untuk mengelak masalah dengan Belanda. Walaubagaimanapun Raffles nekad dan mendapat sokongan dari Gabenor Syarikat Hindia Timur British (EIC) di Calcutta (Benggala) iaitu Lord Hastings yang menyokong pembukaan pengkalan British di Singapura.[4]

Maka bermulalah misi untuk mencari pengkalan British yang sesuai di Kepulauan Riau. Tinjauan pertama di Pulau Karimun mendapati pulau itu tidak sesuai untuk dijadikan Pelabuhan kerana pantainya berbatu karang. Seterusnya Raffles bercadang untuk memudiki Sungai Johor sebagai perancangan awal. Namun setelah berlabuh berhampiran pulau St John berdekatan Singapura, Raffles mendapati Singapura mempunyai kelebihan atas dua sebab; yang pertama Belanda tidak kelihatan menggunakan pulau tersebut di samping kehadiran Temenggung Abdul Rahman, orang kanan Istana Johor yang baru berpindah ke sana dari Bulang.

 

Raffles mendarat di Singapura bersama William Farquhar, mantan Residen British di Melaka pada 28 Januari 1819. Temenggung Abdul Rahman terus dihubungi dan menawarkan untuk ‘menyelesaikan’ kemelut perebutan takhta kerajaan Johor dengan melantik Tengku Long sebagai Sultan Singapura.

Pengistiharan perjanjian di antara Syarikat Hindia Timur British (EIC) dan Tengku Long yang diangkat sebagai ‘Sultan Singapura’ oleh Stanford Raffles dibuat dengan upacara rasmi pada 6 Februari 1819; yang diiringi dengan tembakan meriam dari kapal-kapal British di tengah laut setelah selesai pemasyuran Sultan Singapura.

Surat dalam Bahasa melayu dibaca pada khalayak dalam sebuha majlis yang dihadiri oleh penduduk Singapura pada waktu itu.

“Bahawa ketahuilah oleh segala orang: Maka Tuan Gabenur Jeneral yang di Benggala mengangkat Sultan akan Tengku Long dan digelar akan dia Sultan Husin Syah ibni Almarhum Sultan Mahmud Syah dalam negeri Singapura ini serta daerah teluk rantau jajahannya”. [5]

 

Surat perjanjian di antara Syarikat Hindia Timur British (EIC) dan Tengku Long yang diangkat sebagai ‘Sultan Singapura’ oleh Stanford Raffles dibuat dengan upacara rasmi pada 6 Februari 1819. https://johorkaki.blogspot.com/2020/10/singapore-treaty-1819-nine-days-that.html#google_vignette. Dilawati pada 14 November 2020


 

Raffles yang sedar tentang pergolakan di Istana Johor telah masuk jarum dengan tawaran kepada Tengku Long dan Temenggung Abdul Rahman. Kedua pembesar akan dibari gaji sebagai imbuhan kepada kebenaran British untuk mendirikan pengkalan di Singapura. Di samping itu Sultan dan Temenggung akan memperoleh separuh dari cukai Pelabuhan yang dikutip oleh British.

Syahadan, maka kemudian daripada sudah diangkat akan Tengku Long itu menjadi Sultan, maka diberilah hadiah oleh Tuan Raffles akan dia wang seribu ringgit serta kain sakhlat hitam sekayu dan sakhlat kuning sekayu serta ditentukannya akan gaji Sultan itu pada sebulan empat ratus enambelas ringgit sesuku dan gaji Temenggung separuhnya, iaitu dua ratus delapan ringgit setali. Maka pada hari itu juga diperbuat perjanjian antara kedua pihak, iaitu Kompeni Inggeris dengan Sultan Husin Syah. Maka adalah tersebut dalam perjanjian itu Adapun seperti orang Keling dan orang Benggali, Kompeni Inggeris memerintahkan dia. Maka orang Cina dan Melayu Bersama-sama dengan Sultan memerintahkan. Dan lagi ada tersebut dalam perjanjian itu, jikalau dapat hasil negeri Singapura ini, jikalau barang berapa sekalipun, iaitu dibahagi dua, Kompeni Inggeris separuh dan Sultan Husin Syah separuh adanya.[6]



[1] Raja Jaafar adalah anak kepada Raja Haji as syahid Teluk Ketapang yang dilantik sebagai Yamtuan Muda Riau ke 6 (1808 – 1832).

[2]

 

[3] Peranan Stanford Raffles di Sumatera dan Jawab oleh dirujuk dalam, Tim Hannigan, Raffles dan Invasi Inggeris ke Jawa, KPG (Kepustakaan Populer Gramedia), Jakarta. 2015. 419 Hal.

[4] Seven Hundred Years: A History of Singapore. Op. cit., Hal. 181 – 186.

[5] Hikayat Abdullah, Op. cit. Hal. 161.

[6] Ibid. Hal. 162. Menurut HAMKA, Sultan dibayar gantirugi sebanyak 5000 Dollar Sepanyol setahun dan Temenggung sebanyak 3000 Dollar Sepanyol setahun. Gaji yang diterima Sultan dan Temenggung ialah masing-masing 1500 Dollar dan 500 Dollar sebulan. HAMKA, Dari Perbendaharaan Lama, Pustaka Antara, Kuala Lumpur.1981. Hal. 189.


Comments

Popular posts from this blog

Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: Siri IV. Singapura pasca penyerahan kpd British dan Peralihan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga(h) ke Tanjung Puteri

Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: siri I: Sultan Mahmud mangkat dijulang 1699 dan krisis waris kesultanan Johor