Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: Siri IV. Singapura pasca penyerahan kpd British dan Peralihan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga(h) ke Tanjung Puteri
Singapura
pasca penyerahan kepada British.
Kira-kira
sebulan selepas Singapura ditadbir British sepenuhnya datanglah hamba-hamba
sahaya dari istana mengadu hal seperti yang dilaporkan dalam Hikayat
Abdullah
Syahadan maka adalah
kira-kira sebulan lamanya kemudian dari itu, maka pada satu pagi, ada pukul
setengah enam, maka datanglah ada dua puluh tujuh orang budak-budak perempuan,
muda-muda lagi baik-baik rupanya. Maka sekelian itu budak-budak Sultan datang
ke polis mengadukan hal masing-masing. Maka seorang membukakan belakangnya, ada
bersilang bekas rotan, yang ada bekas digantung, dan yang ada bekas dibakar
dengan damar, dan yang ada berkata, “Sehari-hari sahaya sekelian diseksakan,
tiada dengan cukup makanan dan pakai, dan yang ada dibakar dengan damar di
tempat anu.” Dan yang ada pula berkata, “Ada tiga empat orang kawan sahaya
sudah disuruh bunuh oleh | Encik Perempuan sahaya oleh sebab cemburunya, takut
tuanku membuat gundik.”
Hamba
sahaya itu semua diberikan kebebasan dan terpulanglah kepada mereka kemana
mereka hendak pergi tanpa dapat dihalang oleh Sultan. Kemudian datang pula
perentah dari Kompeni supaya diperbetulkan jalan-jalan di Singapura. Kebetulan
jalan yang hendak dibina itu melalui Kampung Gelam, tempat kediaman Sultan.
Tembok istana Sultan dipecahkan tanpa baginda dapat berbuat apa-apa. Akhirnya
Sultan berpindah ke Melaka dan setelah beberapa tahun meninggal dunia pada
tahun 1835 dan dikebumikan di Masjid Tengkera. Adapun puteranya Sultan Ali
masih kecil ketika mewarisi ‘takhta’ Kerajaan Singapura. Kehadiran baginda juga
tidak dipedulikan. Akhirnya berpindah ke Melaka dan meninggal di sana pada
tahun 1877. Makam Sultan Ali terletak di perkarangan masjid Umbai.
Makam Sultan Husin Shah di perkarangan Masjid
Tengkera, Melaka.Pada tahun 1834, Sultan Husin Syah berpindah dari Singapura
bersama keluarganya di Bandar Hilir. Kemudia menyewa di sebuah rumah di Jalan
Haeran (Jalan Tun Tan Cheng Lo, di Kapung Belanda. Baginda mangkat pada bulan
Disember 1835 dan disemadikan dengan penuh penghormatan selayaknya sebagai
seorang Sultan.
Makam Sultan Ali, putera Sultan Husin Syah di
Masjid Umbai, Melaka. Semasa pemerintahannya baginda bersaing dengan Temenggung
Ibrahim sebagai pewaris Sultan Johor. Atas campurtangan British, takhta
Kesultanan Johor diserahkan kepada Temenggung Ibrahim dan baginda diiktiraf
sebagai ‘Sultan’ tanpa kuasa di daerah Kesang, Muar. Baginda mangkat pada tahun
1877. Puteranya Tengku Alam (bergelar Sultan Alauddin Ri ayat Syah) kekal
bermastautin di Kg. Gelam, Singapura sehingga mangkat pada tahun 1881 dan
dikebumikan di dalam kawasan Masjid Sultan.
Tanah seberang tambak itu.
Tanah seberang tambak itu.
adalah peninggalan nenek moyang.
ibarat seorang kelana terusir
persis dagang terbuang
kerana negeri sudah menjadi tebusan
Kerana ketamakan dan kecuaian diri
melebihi bejatnya penjarah
mengatasi rakusnya pedagang
kini warisan itu tinggal sepi
sehening pusara
di luar masjid Tengkera.
Waktu berputaran menyusuri zaman.
cerita pilu awal kurun dahulu
Dari Bangkahulu ke Pulau Lingga
Dari Den Haag ke kota London
Agenda di susun
Janji muluk dan surat pujuk
Tengku Long terjebak oleh Raffles dan Crawford.
Atas nama Lord Hastings, perjanjian dipetri.
'Tuangku sudah tidak punya apa apa lagi di sini.
Istana Kampung Gelam tinggal sunyi
merantaulah baginda ke tanah leluhur.
ibarat sirih pulang ke gagang
sebagai orang yang kehilangan
bukan sahaja takhta dan lambang kebesaran
yang dirampas oleh Belanda dari ibunda
untuk memperdalam seteru dengan adek berlain ibu.
Bukan sahaja Bangkahulu bertukar milik dengan Melaka.
Bahkan berpisah Johor dari Riau Lingga.
Bagaimana hati tidak dilanda hiba.
1824 adalah pembuka tirai kepada zaman gerhana yg melanda dua bersaudara
di belahan Selat Melaka.
Tengkera menyambut kembali
seorang waris takhta
untuk bersemadi di keharibaannya.
Putera yang ditinggalkan
sebagai tanda warisnya masih ada.
tidak betah hidup dicerca
terasing di persada sendiri
akhirnya menyusuri arwah ayahanda
bersemadi tiada yang peduli.
Wahai generasi.
Jejakilah warisan mu
dari Kampung Gelam
ke Umbai Melaka.
bukan untuk ditangisi
tetapi untuk mengingatkan umat ini
bahawa ada tanah warisan yg perlu dikunjungi
dan ada waris terakhir yg perlu diziarahi.
Bahawa umat ini punya sejarah duka..
dan luka semalam
adalah kesembuhan di hari muka
Hafidzi Mohd Noor
Kuliah: Tanah Warisan di seberang Tambak
Masjid al Huda Section 19
Shah Alam
11 April 2015
Mesjid Daeing Ibrahim
asalnya merupakan kediaman rasmi Temenggung Abdul Rahman yang diubah suai. Perkarangan
kompleks ini juga menempatkan perkuburan di raja di mana terdapat 32 waris
kerabat di raja termasuk Temenggung Abdukl Rahman dan Temenggung Daeng Ibrahim.
Kompleks di Teluk Belanga(h) ini masih berada di dalam naungan Kesultanan Johor
dan Malaysia. Masjid Temenggung Daeing Ibrahim dikendalikan oleh Jabatan Agama
Islam Johor.
Peralihan
pusat pemerintahan dari Teluk Belanga(h) ke Tanjung Puteri (Johor Baharu)
Perjanjian
di antara Sultan Hussein Syah dan Temenggung Abdul Rahman di satu pihak dan
John Crywford mewakili Syarikat Hindia Timur British (EIC) ditanda tangani pada
tahun 1824 yang membawa implikasi Sultan Hussein Syah tidak punya sebarang
kuasa di Singapura (ia dirujuk sebagai Friendship Alliance; sebenarnya
lebih kepada cessation/penyerahan kedaulatan kepada British). Temenggung
Abdul Rahman berpindah ke Teluk Belanga(h) ke tanah yang disediakan oleh
Raffles seluas 200 ekar. Temenggung Abdul Rahman membina kediaman di sana dan
meninggal pada tahun 1825. Anak keduanya Temenggung Daeng Ibrahim menggantikan
tempatnya.[1] Persoalan siapakah yang mewarisi
Sultan Hussein Syah yang telah berpindah ke Melaka dan meninggal pada tahun
1835. Dengan perjanjian Anglo-Dutch pada tahun 1824, waris-waris kesultanan
Johor di Riau-Lingga sudah tidak punya sebarang kuasa ke atas empayar
Johor-Riau yang telah dipecah dua kepada wilayah hegemoni Belanda (Riau-Lingga
dan Sumatera Timur) dan British (Singapura). Secara by default Sultan
Hussein Syah dan keturunannya mempunyai hak ke atas negeri Johor
sekurang-kurangnya. Namun demikian anak Sultan Hussein Syah iaitu Tengku Ali
masih kecil dan Temenggung Ibrahim merupakan seorang yang berpengaruh dan
mempunyai peribadi yang kuat.
Dengan
kemajuan ekonomi yang pesat oleh Temenggung Daeng Ibrahim pada tahun 1840an,
Tengku (Sultan) Ali ibni Hussein Syah merasakan baginda juga berhak ke atas
hasil mahsul negeri Johor di samping tuntutannya ke atas waris kesultanan
Johor. Perbalahan ini mencetuskan ketegangan di antara negeri-negeri yang pernah
bernaung di bawah kesultanan Johor-Riau. Sultan Terengganu dan Lingga menyokong
Tengku Ali sedang Bendahara Pahang menyatakan sokongan kepada Temenggung Daeng
Ibrahim.[2]
Gambaran
yang terakam di dalam Hikayat Johor menggambarkan sifat timbang rasa dan
belas ehsan yang dipamirkan ke atas putera-putera Sultan Hussein Shah yang
kembali ke Kampung Glam, Singapura setelah ayahanda Sultan mangkat di Melaka.
Maka oleh sebab
didapati oleh mereka itu adalah Temenggung Ibrahim sahabat baik dan akrab kepada
Tuan Yang Terutama Gabenor dan lain-lain orang puteh maka pergilah mereka itu
mendapatkan Yang Amat Mulia mengadukan hal serta minta pertolongan apa yang
patut kerana adalah hal mereka itu dalam kesempitan tentang belanja dari
semenjak mangkat Seri Paduka ayahandanya tambahan pula seperti pemberian
Kompeni Inggeris ke atas Almarhum itu telah berhentilah dan hasil-hasil yang
diperolehi dari jajahan takluknya amatlah sedikit tiada berkecukupan. Sudahlah
demikian tiada pula betul atau tetap dapatnya yang demikian semata-matalah
susah keadaan mereka itu. Maka terlalulah kasihan Yang Amat Mulia Temenggung
mendengar dan melihatkan hal mereka itu lalu ditolongnyalah dengan ikhlas
apa-apa yang kadar serta dinasihatkannya pula dengan berbagai-bagai perkataan
yang kebajikan dan lemah lembut.
Atas
kebaikan Temenggung Daeng Ibrahim, Tengku Ali dan kerabatnya berulang-ulang
meminta pertolongan.
Maka berulang-ulanglah
mereka datang minta bermacam-macam pertolongan kepada Temenggung dari sat uke
satu masa tetapi sekelian itu dilayankan jua oleh Temenggung dengan baiknya.
Maka pada kahirnya berkatalah mereka itu tentang keadaan mereka itu tiadalah
tahu bagaimana hendak mengaturkan hal daerah takluknya dari sebab itu sukalah
mereka itu hendak menyerahkan tanah dan kerajaan Johor itu kepada Temenggung
jika dapat ditentukan berapa boleh diberi akan mereka itu belanja yang boleh
diterima tetap bulan-bulan. Maka jawab Yang Amat Mulia iaitu sukalah ia hendak
menolong dalam perkara itu tetapi tentulah tak dapat ia melakukan sesuatu ap
ajika tidak mendapat pesertaan Tuan Yang Terutama Gabenur yang demikian kiranya
sehingga bagaimana dikatakan itu biarlah ia bermuafakat dahulu. Lalu disahut
oleh mereka itu sebaik-baiknyalah yang demikian serta berharap jua barang
kiranya hasil bagaimana dimaksudkan.[3]
Keterangan
yang diberikan di dalam Hikayat Johor berkenaan persetujuan secara
sukarela Tengku (Sultan) Ali untuk dan pewaris-pewaris Sultan Hussein Shah
menyerahkan Johor kepada Temenggung Ibrahim bercanggah dengan keterangan yang
terdapat dalam Tawarikh Dato’ Bentara Luar.[4]
Dengan kemajuan ekonomi yang pesat di Singapura pada tahun 1840an, Tengku
(Sultan) Ali merasakan baginda juga berhak ke atas hasil mahsul Singapura
(termasuk Johor) di samping tuntutannya ke atas waris kesultanan Johor.
Perbalahan ini mencetuskan ketegangan di antara negeri-negeri yang pernah
bernaung di bawah kesultanan Johor-Riau. Sultan Terengganu dan Lingga menyokong
Tengku Ali sedang Bendahara Pahang menyatakan sokongan kepada Temenggung Daeng
Ibrahim.[5]
Menurut
A.Rahman Tang Abdullah, Hikayat Johor menggambarkan sisi yang positif terhadap
Temenggung Daeng Ibrahim dan puteranya, Sultan Abu Bakar terutama dalam soal
sikap pemurahnya dari segi kewangan dalam membantu Tengku (Sultan Ali).. Dalam
perjanjian yang termeterai pada tahun 1855 tidak dinyatakan bahawa ia adalah
dilatari oleh satu konflik politik yang panjang dalam perebutan kuasa di antara
Tengku Ali (waris Sultan Hussein Shah) dan Temenggung Ibrahim (waris Temenggung
Abdul Rahman).
Usaha
Temenggung Ibrahim menghapuskan lanun sehingga dipuji oleh Queen Victoria
sebenarnya termasuk juga sokongan Si Bongkok kepada Tengku Ali yang telah
mengganggu perdagangan Johor dan menjejaskan kepentingan British. Dengan
terhapusnya ancaman si Bongkok pada tahun 1845 yang dituduh sebagai ‘kepala
lanun’, Queen Victoria telah menghadiahkan pedang keemasan kepada Temenggung
Ibrahim. (Dihuraikan dalam sub tajuk Si Bongkok).
Menurut
A. Rahman lagi Temenggung Ibrahim memang berhasrat untuk berkuasa mutlak di
Johor dan membangunkan ekonomi hasil dari pernanaman gambir dan lada hitam, di
samping getah perca atau getah taban (Gutta-percha – Palaquium gutta; Family
Sapotaceae)[6] yang mempunyai
nilai yang tinggi apabila ia didapati bahan yang sangat baik sebagai penebat untuk
kabel telegraf di dasar laut.
Menurut catatan Dato’ Mohamed Salleh bin Perang, semasa perjanjian penyerahan Johor (kecuali Kesang) oleh Tengku (Sultan) Ali kepada Temenggung Ibrahim timbul perbalahan antara kedua pihak kerana Temenggung Ibrahim tidak berpuas hati dengan hasil bumi negeri Johor yang perlu dibahagikan juga kepada Tengku (Sultan) Ali. Winstedt memperakui perkara ini dalam ‘Tawarikh Dato’ Bentara Luar dengan merakamkan bantahan putera Temenggung Ibrahim iaitu putera Abu Bakar.
“On one occasion, he
abruptly left Blundell’s presence requesting the Governor to convey his wishes
through his 18 year old son, Abu Bakar who showed his mettle by telling the
Governor that if he insisted on the Temenggung acknowledging Tengku Ali as
Sultan and giving him a share of the Johore revenue they could not help
themselves but of their own free will, they would not consent, and the youth
added pointing to the police sentry, “if your Honour insisted on making that
policeman Sultan we should have to submit”
“Pada saat itu, beliau
(Temenggung Ibrahim) meninggalkan perbincangan yang dihadiri Blundell dan
memohon Gabenor menyampaikan hasratnya (untuk turut memberikan hasil negeri
Johor keoada Tengku (Sultan) Ali) melalui anaknya, Abu Bakar yang
memperlihatkan ketegasannya dengan memberitahu jika Gabenur bertegas untuk
memperakui Tengku Ali sebagai Sultan dan memperuntukkan sebahagian hasil negeri
Johor kepadanya, mereka tidak ada pilihan melainkan atas keputusan sendiri
tidak akan bersetuju, dan pemuda itu (Abu Bakar) menambah dengan menunjuk
kepada seorang polis pengawal, “Sekiranya Yang Mulia bertegas untuk menjadikan
polis itu sebagai Sultan, kami terpaksa akur.”
Apapun
situasi yang sebenar, British telah menguruskan hal ini dengan melantik
Temenggung Daeng Ibrahim secara rasmi sebagai penguasa negeri Johor, melalui
sebuah perjanjian di antara kedua pihak. Perjanjian itu memutuskan supaya
Tengku Ali meninggalkan Singapura dan dibayar pampasan sebanyak 5000 Spanish
Dollar dan elaun bulanan sebanyak 500 Spanish Dollar.[7] Tengku Ali dilantik
menjadi Sultan Johor tetapi kuasanya hanya dalam daerah Kesang di Muar
disamping kehilangan hak untuk mewariskan kesultanan kepada keturunan baginda.[8] Temenggung Daeng Ibrahim
walaupun tidak bergelar Sultan memegang kuasa pentadbiran secara de jure
bagi seluruh negeri Johor kecuali daerah Kesang di Muar dari pusat
pentadbirannya di Teluk Belanga(h).[9] Adapun Tengku Ali tidak
punya sebarang hak dalam pewarisan kesultanan Johor.
Syarat
perjanjian adalah seperti berikut:
Pertama – Adalah Sultan
Ali sampai keturunan atau wari sgantinya menyerahkan sepenuh-penuh kerajaan dan
haknya kepada Dato Temenggung Ibrahim sampai kepada keturunan atau waris
gantinya selama-lamanya kesemuanya tanah daerah takluk Johor melainkan Kesang.
Kedua – Temenggung akan
membayar $5000 pada Sultan apakala sempurna tandatangan diturunkan dalam surat
itu dan $500 pada sebulan hingga selama-lamanya mulai 1 Januari 1855.
Ketiga – Iaitu negeri
Kesanglah sahaja tinggal pada perintahan Sultan.
Keempat – Sekiranya
Kesang itu hendak dijual hendaklah dahulu ditawarkan kepada Kompeni Inggeris
kemudian kepada Temenggung dengan sama harga setelah itu baharulah boleh
ditawarkan kepada orang lain.
Kelima – Perniagaan
hendaklah dibebaskan dan tiadalah boleh membangkit atau menimbulkan pergaduhan.
Keenam – Kiranya
berbangkit suatu perselisihan bolehlah diserahkan kepada hukuman atau perselesaian
Government India kerana adalah perjanjian antara dua pihak diperbuat
dengan diketahui oleh Government itu.
Ketujuh – Adalah
perjanjian yang diperbuat ini tiadalah mencacatkan perjanjian dengan East
India Company bertarikh 2 Ogos 1824.
Setelah
itu Sultan Ali dan Temenggung Ibrahim memeteraikan mohor masing-masing atas
surat itu disampaikan oleh Gabenor Butterworth Singapura pada 10 Mac 1855.[10]
[1]
Daeng Ibrahim dilantik menjadi Temenggung oleh Bendahari Tun Ali dari Pahang
dengan diperakui oleh Gabenur Singapura bernama Samuel George Bonham di hadapan
orang ramai di Bukit Tanjung Ahor di Teluk Belanga(h).
[2] Tarling, N. (1969). British policy in the Malay Peninsula and Archipelago, 1824–1871 (p. 57). Kuala Lumpur: Oxford
University Press.
[3] Hikayat
Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar. Dalam Fasal Yang Keempat:
Perihal Sultan Ali Menyerahkan Johor kepada Temenggung Ibrahim. Hal.69.
[4]
Tawarikh Dati Bentara Luar. Hal. 35.
[5] Tarling, N. (1969). British policy in the Malay Peninsula and Archipelago, 1824–1871 (p. 57). Kuala Lumpur: Oxford
University Press.
[6]
J. S. Gamble. “Gutta Percha Trees of the Malay
Peninsula.” Bulletin of Miscellaneous Information (Royal Botanic
Gardens, Kew), vol. 1907, no. 4, 1907, pp. 109–121. JSTOR,
www.jstor.org/stable/4111825. Accessed 2 Jan. 2021.
[7] Allen, J. de V., Stockwell, A. J.,
& Wright, L. R. (Eds.). (1981). A collection of treaties and other documents affecting the States of
Malaysia, 1761–1963 (pp.
46–47). London: Oceana Publications.; Swettenham, F. (1975). British Malaya: An account of the origin and progress of British
influence in Malaya (p.
100). New York: AMS Press.
[8] Winstedt, R. O. (1992). A history of Johore, 1365–1941. (p. 105). Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal
Asiatic Society.
[9] Ibid. Hal. 105.
[10] Perjanjian asal adalah dalam Bahasa
Inggeris. Boleh dirujuk dalam Johor Treaty 1855, Dalam J. de V.
Allen, A.J. Stockwell, L.R. Wright (eds.) A Collection of Treaties. Hal.
46 – 47. Terjemahan Bahasa Melayu perjanjian 1855 ini boleh dirujuk dalam Mejar
Dato’ Haji Mohd Said Bin Haji Sulaiman, Buku Teriti Johor dengan Pertambahan
(Salinan asal jawi), Percetakan Johor, (Johor Bahru, 1941), Hal. 20 – 23.
Dikutip dari Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar. Hal. 70 – 71.
Comments
Post a Comment