Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: siri I: Sultan Mahmud mangkat dijulang 1699 dan krisis waris kesultanan Johor
Bagaimana
Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau?
Singapura
terpisah dari Kerajaan Johor-Riau yang sangat luas meliputi Johor, Pahang,
Inderagiri dan Kepulauan Riau-Lingga. Kerajaan
Johor mengalami kemajuan yang pesat selepas 1641 apabila ancaman dari Portugis
berakhir dengan penaklukan Melaka (14 Januari 1641) oleh gabungan Kerajaan
Johor dan Belanda di samping menurunnya kekuasaan Aceh pasca kemangkatan Sultan
Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun 1641 (15 Februari 1641). Sempadan
kerajaan Johor semakin jelas di zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil III (1623
– 1677), di mana meliputi lembah Sungai Kampar, Sungai Siak, Unggaran dan
Bengkalis (Sumatera Timur), Sungai Penagi (Kuala Linggi), Sungai Klang, Muar
dan Sungai Batu Pahat, Pulau-pulau Karimun, Bintang, Bulang, Lingga dan
Singapura.[1]
Ia
bermula dengan kemelut waris Kesultanan Johor ekoran dari kemangkatan Sultan
Mahmud II (memerintah 1685 - 1699) yang dirujuk sebagai Sultan Mahmud mangkat
di julang. Baginda a dibunuh oleh Megat Sri Rama (Laksamana Bentan) yang membalas
perbuatan zalim Sultan Mahmud II yang telah membelah perut isterinya Dang Anum
yang sarat mengandung kerana memakan seulas nangka yang dihidangkan kepada
Sultan.[2] Megat Sri Rama telah
menikam Sultan ketika dibawa di atas tandu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat,
lalu keluarlah ‘darah berdaulat’ yang tumpah ke tanah. Sekonyong itu pula
Sultan telah melontarkan keris yang mengenai kaki Megat Sri Rama lantas muntah
darah dan meninggal dunia secara tiba-tiba.
Sebelum mangkat Sultan Mahmud bertitah ‘tujuh keturunan Laksamana tidak
boleh menjejakkan kaki di Kota Tinggi’. Kesah ini tertulis di dalam kitab
hikayat Tuhfat anNafis (Hadiah Berharga) dan Hikayat Siak.[3] Kitab Tuhfat anNafis
dikarang oleh Raja Ali Haji pada tahun 1885 yang mengkesahkan pembabitan
orang-orang Bugis di Tanah Melayu.[4]
Sultan
Mahmud II menaiki takhta ketika berusia 10 tahun. Oleh kerana baginda masih
kanak-kanak maka urusan pemerintahan dilaksanakan oleh Bendahara Tun Abdul
Jalil bin Tun Habab. Terkenal dengan sikap kejamnya, bahkan ada kemungkinan
kesah Dang Anum dibunuh kerana seulas nangka itu ada lah kiasan sikapnya yang
kejam. Ada sumber lain yang menjelaskan Sultan Mahmud II dibunuh kerana insiden
yang lain yang dirujuk oleh country trader British Kapten Alexander Hamilton.[5]
Sultan
Mahmud II tiada mempunyai keturunan (baginda tidak berkahwin). Dengan itu
pewarisan Sultan dari Kesultanan melayu Melaka terputus dan berpindah kepada Bendahara. Tun Abdul Jalil
bin Tun Habab. Baginda adalah Sultan Johor yang pertama dari jalur Bendahara
bergelar Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah IV (memerentah 1699 – 1718). Tanpa
diduga Raja Kecil dari Siak mengaku dari
keturunan Sultan Mahmud II dari seorang dayang istana (Che Pong) dan
menuntut takhta Sultan Johor.[6] Berlakulah peperangan di
antara Raja Kecil yang dibantu oleh orang-orang laut dan Sultan Abdul Jalil pada tahun 1717.[7] Raja Kecil menduduki takhta
bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat sebagai Sultan Johor yang ke 12. Sultan
Abdul Jalil Ri’ayat Shah IV terbunuh pada tahun 1721 atas arahan Sultan Abdul
Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil). Anak-anak kepada Sultan Abdul Jalil IV iaitu
Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah telah memohon pertolongan dari orang orang
Bugis untuk mengalahkan Raja Kecil. Lima pahlawan Bugis bersaudara (Upu-Upu
berlima bersama seorang saudara perempuan berlain ibu adalah anak-anak Upu
Tanderi Burung Daeng Rilaka) iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Marewah,
Daeng Chelak dan Daeng Kemasi telah membantu mengalahkan Raja Kecil.[8] Upu-upu berlima mengikat
perjanjian dengan Sultan Suliaman untuk menuntut kedudukan sebagai Yamtuan Muda
Riau dalam institusi kesultanan Johor. Daeng Merewah bergelar Kelana Jaya
Putera telah dilantik sebagai Yamtuan Muda Riau yang pertama dengan gelaran
Yang Dipertuan Muda Sultan Ala’uddin Syah Ibni Upu sedangkan Raja (Tengku)
Sulaiman diangkat sebagai Sultan bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah..
Dengan ini wujudlah dua institusi di Raja johor; iaitu Sultan Johor di Ujong
Tanah (Johor) dan Pahang; dan Yamtuan Muda Riau di kawasan perairan dan
kepulauan termasuk Singapura, Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga.
Sebenarnya
berdasarkan kepada perjanjian “Sumpah Setia” di antara putera al Marhum Sultan
Abdul Jalil IV, Raja Sulaiman (Sultan Johor) dan Yamtuan Muda Riau yang
pertama, Daeng Merewah yang termetrai pada tahun 1723 memperuntukkan kuasa
penuh ke atas Yamtuan untuk mentadbir seluruh empayar Johor.
Kemudian berkata Upu
yang lima itu kepada Raja Sulaiman. “Adapun yang seperti permintaan Raja
Sulaiman kepada sahaya terima. Akan tetapi hendaklah kita semua berjanji dahulu
betul-betul. Maka jawab Raja Sulaiman, “Baiklah dan khabarkanlah oleh Upu-upu
boleh sahaya dengar. Syahadan berkata pula Upu Daeng parani, “Adapun jika jadi
pekerjaan sahaya semua ini maka sebelah Raja Sulaiman menjadi Yamtuan Besar
sampailah kepada turun-temurunnya dan disebelah sahaya semua menjadi Yamtuan
Muda sampailah kepada turun-temurunnya juga tiada boleh yang lain. Maka boleh
dipilih saja sahaya yang lima beradek ini masakan-masakan jua yang disukai
orang banyak maka dia itulah yang jadi Yamtuan Muda tiada boleh tiada. Dan
lagi pula Yamtuan Besar jadi seperti perempuan saja jika diberinya makan baharu
makan ia dan Yamtuan Muda jadi seperti laki-laki dan jika datang satu-satu hal
apa-apa juga bicara melainkan apa kata Yamtuan Muda. Syahadan sekelian
perjanjian kita mana-mana yang tersebut tiada boleh diubahkan lagi maka boleh
kita semua pakai sampai kepada anak cucu-cicit turun temurun kita kekal
selama-lamanya”. Maka jawab Raja Sulaiman, “baiklah…” [9]
Sepanjang
kurun ke 17 dan 18M Belanda mengawal laluan dari Selat Melaka ke Jawa dan
Makassar, menjadikan kepulauan Riau sebagai pengkalan. Sejak 1641, Belanda
menjalin hubungan politik dengan Johor yang mana melalui pakatan ini, Portugis
berjaya di alahkan di Melaka. Ia sebahagian dari peperangan di antara Belanda
dan Portugis (1601 – 1663) yang merupakan lanjutan dari Perang 80 tahun di
antara Belanda dan Sepanyol (1568 – 1648). Peperangan ini adalah perebutan tanah
jajahan seberang laut kedua kuasa imperialis. Apabila orang orang Bugis berhijrah
ke Riau, Linggi dan Kuala Selangor ekoran Perang Makassar 1666-70, berlaku
peperangan di antara Bugis dan Belanda di merata tempat di Kepulauan Riau.
Sementara itu Orang orang Bugis telah membantu Johor mengalahkan Raja Kecil
(Siak/rantau Minangkabau) dan menjadi sebahagian dari institusi kesultanan
Johor-Riau. Peperangan di antara Bugis dan Belanda berkhir dengan kekalahan Raja
Haji di Teluk Ketapang pada tahun 1784. Perjanjian kapitulasi Riau memberi
kuasa kepada Belanda membina pengkalan perniagaan di Kepulauan Riau (termasuk
Singapura) yang bersifat monopoli. Di bawah takluk Belanda, beberapa syarat
telah dikenakan kepada Kerajaan Johor-Riau di bawah Sultan Mahmud III. Ini
termasuklah membayar ganti rugi dan hak Belanda untuk menguasai perdagangan di
Kepulauan Riau. Ini disusuli dengan perjanjian kedua pada tahun 1786 dengan
syarat yang lebih mengekang kemerdakaan empayar Johor. Pentadbiran perdagangan
Riau diserahkan sepenuhnya kepada Kompeni Belanda. Kapal-kapal Cina dan asing
tidak lagi boleh singgah di Pahang sebaliknya meneruskan pelayaran ke Riau dan
membayar cukai kepada Belanda.[10]
[1] L.Y. Andaya, The Kingdom of Johor,
1641-1728 (East Asian historical monographs). Oxford Univ. Press. 1975, 394
pp. Dirujuk oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali, Kesultanan Johor, 1528 –
1885, Hal. 19 – 1932. Dlm. (Eds.) Abdullah Zakaria bin Ghazali dan
Zainal Abidin Borhan, 1994. Johor: Dahulu dan Sekarang, Persatuan Muzium
Malaysia, Kuala Lumpur.
[2] R.O. Winstedt. A History of Johore. Hal.
50 – 51; Hj. Buyong Adil, Sejarah Johor, Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal 84 – 85.
[3] Muhammad Yusoff Hashim, 2017. Hikayat
Siak: Legasi Tradisi Gemilang Kesultanan Melayu-Islam (Siak Legend: The Legacy
of the Great Tradition of the Malay-Islamic Sultanate), Dewan Bahasa dan
Pustaka. 597 hal.
[4] Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis, Singapura,
Malaysian Publication Ltd.1965.; Siti Hawa Hj Saleh. 2010, Malay Literature
of the 19th Century, Institiut Terjemahan Negara Malaysia Berhad,
Kuala Lumpur.; Virginia Matheson, 1973. Tuhfat al-Nafis (the precious gift):
a nineteenth century Malay history critically examined, Ali Ibn Ahmad (Raja Haji), Monash University.
Dept. of Indonesian and Malay, Monash University. 2374 Pp.
[5] Seven Hundred Years: A History of
Singapore, Op. cit., pp. 148 – 149.
[6] Abdullah Zakarian bin Ghazali. 1981.
Raja Kecil Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (1718 – 1722), Satu Kajian Tentang
Asal-usulnya, Jurnal Sejarah Melaka. Bil 6, Hal. 48 – 52.
[7] Zainal Abidin Borhan, 1984. ‘Peranan
Orang laut di Selat Melaka: Satu catatan awal’, Penyelenggara Abdul Latiff
Abu Bakar, ‘Sejarah di Selat Melaka, Hal. 74 – 78.
[8] Sejarah dan salasilah
upu-upu berlima boleh dirujuk di dalam Kerajaan Johor-Riau, diselenggara
peh A. Samad Ahmad, 1985, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hal. 1 – 40.
Naskhah asal buku berjudul Thamaratul Matlub Fi Anuaril Qulub (Kitab
yang mengandungi buah (hujah) yang dituntut untuk menerangi hati), milik DBP
(Bil. MSS 48) yang diperolehi daru Tuan Syed Mohamed bin Syed Zain Shahabuddin
pada 12 Jun, 1963
[9] Rujukan: Sadjarah Riouw
Lingga dan Daerah Taaloqnya, Kata Pengantar oleh Nordin Hussin, Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2013. Hal. 39 – 40. Manuskrip Sadjarah
Riouw Lingga dan daerah Taaloqnya telah diperolehi dari pengumpul manuskrip
lama yang tidak dinyatakan identitinya. Pada tahun 1932 manuskrip ini telah
dibeli oleh Universiti Leiden dan disimpan dalam koleksi manuskrip melayu.
Latarbelakang manuskrip pernah ditulis oleh R. Roolvink yang memberi nota
pengenalan pada tahun 1980. Ia dikatalogkan dengan Cod. Or. 6345.
[10] Isi perjanjian
kapitulasi/kontrak antara kerajaan Johor-Riau dan Belanda ini boleh dirujuk dalam
Kerajaan Johor-Riau, op. cit. 1. Bab XII - Beberapa Kontrak Riau-Belanda.
Hal. 111 – 115; Bab XIII – Kontrak Zaman Sultan Mahmud Syah (Di antara Kerajaan
Johor, Pahang, Riau, Lingga dengan Govermen Hollanda, T.M. 1874 – Sanah Hijrah
1199). Hal. 116 – 121; Bab XIV – Kontrak Dibuat Semula. Hal.122 – 134.; Surat-surat
asal boleh dirujuk pada Surat-Surat Perdjandjian antara Kesultanan Riau
dengan Pemerintahan2 V.O.C dan Hindia-Belanda (1784-1909), Djakarta: Arsip
Nasional Republik Indonesia, 1970. Ruj. https://mcp.anu.edu.au/N/PRiau_bib.html lamanweb
dilawati pada 17 Jun 2020.
Comments
Post a Comment