Syeikh Abdus Samad al Palimbani (di kenang di Palembang, Kedah dan Pattani)

 

Syeikh Abdus Samad al Falimbani (Palembang)

Satu tapak sejarah di Patani (kini dalam Songkhla) yang penting ialah makam seorang ulama besar iaitu Syeikh Abdus Samad al-Falimbani (Palembang) di Kampung Turab (Ban Tarap, Chana). Nama penuh  Abdus Samad bin Abdul Jalil Al-Jawi Al-Palimbani [1]/ Abdul Samad bin Abdul Rahman bin Abdul Jalil bin Abdul Wahhab ibn Ahmad al-Mahdani[2]  @ Sayyid Abdus Samad bin Abdurrahman Al-Jawi (Arab). Menurut Tarikh Salasilah Negeri Kedah Beliau dilahirkan pada tahun 1116 H / 1704M. Semakan terkini menunjukkan beliau lahir pada tahun 1150 H/1737 M. Ini adalah berdasarkan manuskrip sebuah manaqib* yang berjudul Faydh Al-Ihsani, tulisan anak murid beliau. [3]

: . . . bermula diperanakkan Syaikh radhiallahu anhu itu dan meredhai Allah Taala akan dia dan menjadikan ia akan sorga makrifat akan Allah Taala akan tempat tetap di hatinya dan akan kediaman hatinya. Ia diperanakkan pada tahun seribu seratus lima puluh tahun dari pada hijrah Nabi Muhammad shallallahu alaihi wasallam (1150H) segala nabi yang mursal didalamnya negeri Palembang. [4]

Ada kesilapan selama ini di mana Syeikh Abdul Jalil bin Abdul Wahab bin Ahmad al-Madani@Mahdani** didakwa sebagai bapa kepada Syeikh Abdus Samad. Berdasarkan kepada dokumen yang tersimpan pada keturunan Syeikh Abdus Samad, Syeikh Abdul Jalil adalah datuk beliau, sedang bapanya adalah Abdul Rahman iaitu anak kepada Syeikh Abdul Jalil dengan isterinya Raden Ranti.[5] Raden Ranti adalah puteri bongsu (anak yang ke 15) Pangeran Purbaya, putera tertua dari Sultan Muhammad Mansur (Jayo Ing Lago) Sultan Palembang Darussalam yang kedua, memerentah dari 1706 – 1714. Ini bermakna Syeikh Abdus Samad adalah keturunan Kesultanan Palembang dari neneknya Raden Ranti.

Syeikh Abdul Jalil Abdul Wahab adalah seorang ulama asal San’a (Yaman) pernah memegang jawatan sebagai mufti Kedah di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa. Perhubungan antara Syeikh Abdul Jalil dan Sultan Muhammad Jiwa telah diulas dalam bab Sejarah Islam di Singapura. Syeikh Abdul Jalil pernah dilantik sebagai ketua penjaga Istana Kuto Cerancangan (dibina oleh Sultan Agong Komaruddin (memerintah 1714 – 1724) pada masa Sultan Mahmud Badaruddin I (memerintah 1724 – 57). [6]

Ibunya, bernama Masayu Syarifah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil. Menurut apa yang tercatat di dalam manuskrip Faydh Al-Insani wa Midada li al-Rabban:  “dan adalah dahulu daripada sampai umurnya setahun maka lalu ibunya ke rahmat Allah Ta’ala, maka jadi ia yatim dalam rahmat mudanya....” Ini disusuli pula oleh bapanya yang berangkat ke Kedah; “...tatkala sampai umurnya kira-kira sembilan tahun berpindah bapanya kepada “Negeri yang Sejahtera”..... (besar kemungkinan yang membawa maksud Darul Aman iaitu Kedah, di mana datuknya Syeikh Abdul Jalil menjawat sebagai mufti di sana). Syeikh Abdus Samad dibesar dalam lingkungan Keraton Kuto Cerancangan dan mendapat didikan dari para ulama Palembang seperti Tuan Faqih Jalaluddin, Hasanuddin bin Jaafar, dan Sayyid Hasan bin Umar Idrus. Di bawah bimbingan Sayyid Hasan bin Umar Idrus, Syaikh Abdus Samad mempelajari Al-Quran dan menghafalnya pada usia 10 tahun. Menurut Faydh Al-Insani beliau mengawasi akhlak Syeikh Abdus Samad; “maka menilik akan dia dengan tilik peliharaan dan bersungguh-sungguh ia dengan membaikkan kelakuannya itu....” [7]

Syeikh Abdus Samad tidak menghabiskan masa kecilnya dengan bermain-main seperti lumrahnya kanak-kanak lain. Bahkan beliau tidak merasa menyesal menghabiskan waktu dengan menuntut ilmu, sehingga harta peninggalan ayah-ibunya yang diwariskan iaitu; “dua peti daripada pakaian perak dan kain sutera baik-baik,” habis dibelanjakan, “maka hilang binasa keduanya itu dahulu daripada aku ‘aqil baligh,” Beliau tidak menyesalinya; “maka tiada aku berpaling pada keduanya....aku ketahui bahwa Allah Ta’ala menjadikan ia akan daku mengikut dengan penghulu tempat kita berpegang, yaitu nabi Muhammad Saw.”

Peribadi Syaikh Abdus Samad boleh dibilang sebagai sangat “haus ilmu”. Di samping mempelajari ilmu keagamaan, beliau masih menyempatkan waktu untuk belajar seni silat Palembang. Datuknya dari nasab Palembang, Pangeran Purbaya amat terkenal sebagai ahli pendidik ilmu silat dan urusan peperangan.[8] Syeikh Abdul Samad muncul pada saat Palembang menjadi pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam pada kurun ke 17 da 18 M. Palembang bersama Banjarmasin dan Padang mengambil ahli kedudukan Aceh yang mulai mengalami kemunduran.[9]  Menurut Husni Rahim tradisi memelihara “Ulama Keraton” (Ulama dalam Institusi Istana/Pemerintah) telah dimulakan pada zaman Sultan Mahmud Badaruddin I (1724 – 1757M)  dalam kerajaan Palembang Darussalam. Bahkan ia adalah satu ciri Kesultanan Palembang yang lebih awal sejak kurun ke 16 apabila Palembang menjadi sebahagian dari pusat perkembangan Islam, seperti yang dicatat oleh Tome Pires.[10]

Syeikh Abdus Samad dianggap sebagai ulama paling terpelajar di sepanjang sejarah Nusantara. Ini adalah pengiktirafan oleh Martin Van Bruinessen, seorang ahli antropologi dan orientalis berbangsa Belanda yang menumpu kepada kajian tentang perkembangan Islam di Indonesia.[11] Kajian mengenai penulisan ulama-ulama Sumatera Selatan merumuskan pemikiran keagamaan pada kurun ke 19 dan awal kurun ke 20 adalah penerusan dari asas yang telah diletakkkan oleh ulama yang lebih awal; dan dari segi nilai karya-karya yang terkumpul pada zaman tersebut tiada yang dapat menandingi karya Syeikh Abdus Samad.[12]

Syeikh Abdus Samad berangkat ke Mekah pada tahun 1750 (berusia ~ 13 tahun) dan menuntut di sana selama sekitar 35 tahun (30 tahun di Mekah dan 5 tahun di Madinah). Guru-guru beliau di Mekah antaranya ialah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Al-Kurdi, Syaikh ‘Abd Al-Mun’im Al-Damanhuri, Syaikh Ibrahim Al-Ra’is Al-Zamzami, Syaikh Muhammad bin Jawhari Al-Mishri serta Syaikh Ath-Tha’ilah Al-Azhari AlMishri.[13]

Selain dari Mekah dan Madinah; termasuk Taif dan Jeddah; dan Zabid, Yaman, Syeikh Abdus Samad juga menuntut di Damsyik dan Di Kaherah. Guru-gurunya sangat ramai yang dapat dikesan di luar jazeerah iaitu dari Mesir, Syam, Iraq, Maghrib, Hind dan Sindh-India; dan Nusantara.[14] Gurunya dari kepulauan Melayu antaranya ialah Aqib bin Hasanuddin bin Jaafar bin Muhammad bin Badruddin al-Falimbani al-Sumatrani al-Madani (meninggal sekitar 1182 H/1768 M), seorang ulama Nusantara yang mempunyai sejumlah besar periwayatan sehingga diberi gelaran muhaddis, hafiz and faqih.[15]

Pengiktirafan terhadap Syeikh Abdus Samad di kalangan komuniti Arab antaranya ialah testimoni dari pelajar beliau, Abdul Rahman al-Ahdal, yang merupakan mufti Zabid, Yaman; yang telah memuatkan nama dan biografi gurunya Syeikh Abdul  Samad dalam thabaqat beliau yang berjudul al-Nafas al-Yamani wa al-Rawh al-Rayhani.  Testimoni Abdul   Rahman   al-Ahdal's ke atas Syeikh Abdus Samad antara lain ialah ulama besar (al-allamah),  al-wali,  dan  seorang yang mempunyai kafahaman yang mendalam (al-fahhamah), yang warak (at-taqi), dan mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan ilmuan Islam (wajih al-Islam) sudah cukup menggambarkan betapa tingginya kedudukan Syeikh Abdus Samad dalam jaringan intelektual kurun ke 18 di Dunia Arab.[16] Ini dengan jelas menunjukkan sanjungan al-Ahdal terhadap Syeikh Abdus Samad di mana beliau telah dipilih dari ratusan sarjana yang hidup sezaman.[17]


Syeikh Abdus Samad aktif bersama komuniti berbahasa Melayu di Mekah dan sering mengambil bahagian dalam pengajian dan perbahasan ilmu sehingga lahirlah budaya ilmu yang segar dalam masyarakat ‘jawi’ di Masjidil Haram dan Nabawi. Syeikh Abdus Salam diletakkan sebaris dengan empat lagi ulama tersohor dalam lingkungan ulama Nusantara di Haramayn. Mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad Al- Banjari, Syeikh Abdul Wahab Al-Bugisi, Syeikh Abdurrahman Al-Jawi Al-Batawi Al-Misri dan Syeikh Daud Al-Fathani. Dari segi usia Syaikh Muhammad Arsyad dan Syaikh Abdul Wahab lebih tua berbanding Syaikh Abdus Samad. Syaikh Daud Al-Fathani pula baru tiba di Mekkah pada akhir 1780-an dan berguru dengan Syaikh Abdus Samad. Syeikh Abdurrahman Al-Jawi Al-Batawi Al-Misri kemungkinan besar adalah seusia dan menjadi teman yang rapat dengan Syaikh Abdus Samad. Syeikh Abdus Samad dan tiga sahabatnya meminta izin dari guru mereka Syaikh At-Tha’ilah Al-Azhari Al-Misri untuk menuntut ilmu di Mesir, tetapi dinasihati untuk pulang ke Tanah Air kerana menuntut ilmu itu penting tetapi mengajarkan ilmu juga tidak kurang pentingnya.

Di antara kitab-kitab Syeikh Abdus Samad al-Falimbani yang dapat dikesan dan diketahui kewujudannya:[18]

Zahratul Murid fi Bayani Kalimati at-Tauhid, 1178 H/1765 M.

(Kitab bahasa Melayu tentang kajian-kajian kalimat Tauhid)

 

Risalah fi Bayan Asbab Muharramat al-Nikah, 1179 H/1765 M.

(Terjemahan: Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah)

 

Risalah Latifah fi Bayan al-Isa wa al-Mi’raj, 1181 H/1767 M

 

Two letters addressed to two Javanese rulers, 1186 H/ 1772 M.

 

Nashihat al-Muslimin wa-Tadhiratul Mu’minin fi-Fada’il al-Jihad fi-Sabilillah wa Karamat al-Mujahidin fi-Sabilillah, 1187 H/1773 M.

(Kitab ini ditulis dalam bahasa Arab dan berisi anjuran untuk berjihad di jalan Allah (Jihad fi Sabilillah). Kitab ini juga merupakan jawapan atas penjajahan barat di Nusantara.)

 

Mulhaq fi Bayan al-Fawa’id al-Nafi’ah fi al-Jihad fi Sabilillah, Tanpa tarikh.

Doa al-Musabba’at al-Ashar, Tanpa tarikh.

Al-Urwat al-Wuthqa wa-Silsilat al-Wali al-Atqa/Uli al-Ittiqa, Tanpa tarikh.

(Kitab dalam bahasa Arab yang berisi tentang wirid dan doa dalam waktu-waktu tertentu).

 

Ratib Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Tanpa tarikh.

(Kitab ini mengandungi doa-doa, zikir, dan salawat (ratib) yang sering dilakukan oleh Syeikh Abdus Samad setelah Solat Isya’. Kitab ini hampir sama dengan Ratib dari gurunya iaitu Syeikh Muhammad bin Abd Al-Karim Al-Samani Al-Madani dari Tarekat Sammaniyah.)

 

Kayfiyyat fi Khatm Yawm ar-Rabu fi Waqt al-Asr, Tanpa tarikh.

Ar-Risalah fi Kayfiyyat Ratib Lailat fi al-Jum’ah, Tanpa tarikh.

Zad al-Muttaqin fi Tawhid Rabb al-‘Alamin/ad-Duniain, Tanpa tarikh.

(Kitab ini berisi ringkasan ajaran Tauhid yang diperolehi dari guru beliau, Syeikh Muhammad bin Abd Al-Karim Al-Samani Al-Madani.)

 

Hidayat as-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin, 1192 H/1778 M.

(Kitab ini berbahasa Melayu; bukan semata-mata terjemahan dari Bidayat Al-Hidayah Imam Al-Ghazali, tetapi dilengkapi dengan ulasan oleh Syaikh Abdus Samad.)

 

Risalah fi Bayan hukm as-Shara’ wa-Bayan Man Yukhalifuhu fi al-Itiqad aw fi al-Hukm aw fi al-Amal, 1201 H/1787 M.

Sayr as-Salikin ila Ibadat Rabb al- alamin/ad-Duniain, Jilid I (1193-94 H/1779-80 M); Jilid II (1195 H/1781 M); Jilid III (1197 H/1783 M); Jilid IV (1203 H/1789 M).

(Kitab ini berbahasa Melayu yang diterjemahkan dari kitab Imam Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin. Seperti Kitab Hidayat al-Salikin, ia bukan sahaja menerjemahkan tetapi turut memuatkan wacana lain seperti pemikiran-pemikiran “Sufisme Lama” dari para tokoh seperti Ibn ‘Arabi, Al- Jilli, dan Burhanpuri namun ditafsirkan dalam pemikiran Imam Al-Ghazali dan membentuk corak pemikiran Neo-Sufisme.)

 

Thufah Al-Raghibin fi Bayan Haqiqat Iman Al-Mu’minin, 1774M? (Muhammad Hussein Ahmad menganggap ia bukan tulisan Syeikh Abdus Samad.)

(Kitab ini berbahasa Arab dan berisi tentang peringatan-peringatan mengenai kefahaman yang tersebar dan boleh menyesatkan umat. Menurut Drewes, kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Baha’uddin (memerintah 1776 – 1803; tiada keserasian dengan tarikh penulisan kitab.

 

An-Nur al-Ahmad fi Asanid al-Syaikh Abdus Samad, Tidak ditemui.

 

Fada’il al-Ihya li al-Ghazali, Tidak ditemui

Puisi Kemenangan Kedah, 1246 H/1831 M

Ada lagi kitab-kitab yang ditulis oleh Syeikh Abdus Samad seperti yang dikutip oleh Abdullah Mal An (2012) seperti Sawathi al-Anwar, Irsyad Afdal al-Jihad dan Risalah fi al-Awrad wa al-Adzkar.[19] Bahkan ada lagi manuskrip yang belum dicetak yang masih perlu diketengahkan:

Pengaruh Syeikh Abdus Samad dalam membentuk kejelasan jalan berfikir dalam usuluddin sangat besar. Tradisi keilmuan Islam di Palembang dan lingkungannya boleh dikatakan bebas dari pemikiran Syeikh Shamsuddin as Sumaterani dan Hamzah al Fansuri (unorthodoks & heterodoks) dua serangkai ulama dan pemikir Aceh awal kurun ke 17. Bahkan tulisan-tulisan Ibn  al-Arabi,  al-Jili,  al-Hallaj,  al-Jilani,  Junayd al-Baghdadi yang dianggap bermasalah dari sudut memulihara kesejahteraan akidah tidak mendapat tempat di kalangan ulama-ulama di Sumatera Selatan pada umumnya. Sebaliknya jalan pemikiran tasauf yang di ketengahkan oleh al Ghazali lewat tulisannya Ihya Ulumuddin dikuasai dan dikupas dengan begitu baik sekali oleh Syeikh Abdus Samad melalui karya-karyanya Hidayat as-Salikin (terjemahan dan ulasan Bidayat Al-Hidayah) dan Sayr as-Salikin. Sebagai ulama Nusantara yang pertama menterjemah secara lengkap tulisan al Ghazali iaitu Bidayat  al-Hidayah dan Lubab atau Mukhtasar Ihya Ulum ad-Din beliau telah meletakkan al-Ghazali dan pemikirannya di tempat yang tertinggi di kalangan pengamal ilmu tasawuf di Alam Melayu.[20]

Kitab Hidayat-us-Salikin karya Syeikh Abdus Samad al-Palimbani yang merupakan terjemahan dan kupasan Kitab Bidayah wa an-Nihayah tulisan Imam al-Ghazali r.h.

Arafah Pramasto di dalam makalahnya analisis etika ilmu pengetahuan dalam kitab Hidayat as-Salikin karangan al-palimbani abad ke-18 [21] menjelaskan ‘ilmu yang bermanfaat’ ialah gandingan di antara ilmu feqah dan tasawuf. Beliau menyandarkan ini kepada Syaikh Abul Hasan Asy-Syadzili yang mengatakan:

“Barangsiapa tidak masuk serta mahir dalam ilmu ini (Tasawuf), niscaya ia mati dalam membawa dosa-dosa besar tanpa disadarinya” [22];

 

dan ucapan Imam Malik yang dikutip Nasharuddin Umar,

“Siapa saja yang bertasawuf tanpa berfeqah, maka ia zindiq (sesat). Siapa saja yang berfeqah tanpa bertasawuf, maka dia fasiq (banyak dosa). Siapa saja yang menggabung keduanya, maka dia akan sampai pada hakikat” [23]

 

Syeikh Abdus Samad memjelaskan erti ilmu syariat dan ilmu tasawuf

“Adapun kadar fardu ’ain dalam ilmu syariat iaitu: sekadar mengetahui segala fardu taharah, fardu sembayang, fardu puasa dan yang membatalkannya, fardu haji, fardu zakat serta segala yang membatalkannya. Yang lebih dari itu hukumnya fardu kifayah. Adapun pada ilmu tasawuf iaitu barang yang menyelamatkan seluruh amal dari fasad (kerusakan), dan yang membatalkannya, semisal yang membatalkan pahala solat seperti riya’, ‘ujub, sum’ah, dan lainnya.” [24]

 

Syeikh Abdus Samad menegaskan apa yang digariskan oleh Imam al-Ghazali iaitu mengenai keutamaan dalam mempelajari ilmu Syariat kerana ia ilmu yang menyelamatkan  dari perkara-perkara yang membinasakan dan untuk mencapai derajat yang tinggi. Jika ilmu feqah (syariat) bermatlamat untuk memperbaiki amal, maka ilmu tasawuf adalah bertujuan untuk memperbaiki hati dan menumpukan hanya kepada Allah SWT.

Syeikh Abdus Samad adalah seorang yang membumikan ajaran tasauf sehingga mencakupi urusan kesejahteraan masyarakat. Ini diulas degan cukup baik oleh Arafah Pramasto dalam menghuraikan Idealisme Sosial Kemasyarakatan dalam Kitab Hidayatus Salikin.[25] Kehidupan sosial yang ideal hanya tumbuh dari perkara yang paling kecil yang dituntut dari setiap individu iaitu dengan menjaga setiap anggota badan dari sebarang bentuk kezaliman terhadap diri sendiri dan orang lain

…. Syeikh Abdus Samad menuliskan bahwa penjagaan atas anggota badan setiap individu Muslim itu dimaksudkan agar dapat menjaga harga diri sesama manusia. Contohnya ialah dengan menjaga mata dari pandangan syahwat pada perempuan Helat (lacur) ataupun perempuan muda yang bagus parasnya, tidak memandang hina manusia dan tidak melihat aib orang lain. Telinga kita hendaknya tidak dipakai untuk mendengarkan orang yang mengumpat, berkata keji, batil, sia-sia ataupun kejahatan manusia. [26]

 

 

Syeikh Abdus Samad menegaskan bahawa seseorng itu tidak boleh menyakiti sesama muslim bahkan terhadap semua makhluk Allah.

“..bahawa kedua tangan harus dijaga dan jangan sampai memukul sesama Muslim sewaktu mencari harta dan jagalah pula kedua tangan agar jangan sampai menyakiti semua makhluk Allah atau berkhianat terhadap amanat dan harapan orang lain.” [27]

 

Seseorang itu hendaklah menjaga kedua kaki supaya tidak berjalan ke tempat pemerintah atau orang yang zalim kecuali atas urusan darurat dan kepentingan akhirat kerana ia adalah maksiat dan haram hukumnya. Syeikh Abdus Samad mengutip pandangan ini dari Imam al-Ghazali dalam hal mengunjungi orang zalim dan merendahkan diri atau memuliakan mereka. [28]

Dalam bab “Ketaatan Batin” Syeikh Abdus Samad menghuraikan secara panjang lebar mengenai persoalan taubat yang diterima apabila menyangkut soal kesalahan dengan orang lain. Arafah Pramasto merumuskan dalam bentuk jadual berikut: [29]

Jenis Maksiat

Tindakan yang Harus Diambil

. Melukai Orang Lain

Serahkan diri pada ahli waris orang yang dilukai atau minta dihalalkan. Jika tidak mampu berbuat demikian karena ahli warisnya tidak diketahui / dikenal, hendaklah bertaubat kepada Allah agar dapat dihalalkan oleh-Nya pada hari kiamat.

Mengumpat / Memaki

Meminta maaf kepadanya secara langsung. Jika tidak mampu berbuat demikian maka bertaubatlah

Mengkafirkan Sesama Muslim

Mencabut perkataan itu di hadapan orang yang dituduh kafir secara langsung. Jika tidak mampu berbuat demikian, bertaubatlah kepada Allah agar Dia menghalalkan yang demikian itu pada hari kiamat.

. Berkhianat

Menyadari bahwa khianat adalah dosa yang amat besar, karena bila meminta dihalalkan (maaf) akan membawa bencana yang lebih besar, sehingga tidak ada jalan lain kecuali memohon ampunan Allah SWT.

 

Dalam urusan mengambil harta secara haram maka wajiblah mengembalikan harta tersebut atau minta dihalalkannya (dimaafkannya); jika orang yang diambil hartanya tidak ada karena pergi jauh, tidak diketahui keberadaannya, ataupun meninggal, maka kembalikanlah kepada ahli warisnya. Apabila Ahli Warisnya tidak ada, maka sedekahkan kepada fakir miskin, dan kalau tidak mampu mengembalikan harta tersebut karena ketidakmampuan pelaku maksiat itu akibat kemiskinan dan sakit, hendaklah bertaubat kepada Allah dengan berbuat ibadah, kebajikan, dan memohon untuk dihalalkan (diampuni sepenuhnya) pada hari kiamat nanti.[30]

Tentang menjaga lisan pula, Syeikh Abdus Samad menegaskan supaya muslim menjauhi berita bohong, kata-kata kebencian, mengumpat dan memungkiri janji kerana ia termasuk perbuatan orang munafik.  Ujar beliau tentang mengumpat:

 “Menyebut aib orang, baik (mengenai) cacatnya, perkataan, perbuatan, agama, dunia, kain (pakaian / sandang), rumah, binatang (ternak), atau sukunya, dan lain-lain. Semua itu dinamakan mengumpat lagi zalim, sekalipun apa yang engkau sebutkan itu benar !.” [31]

 

Bermula abad ke-9 M (ke-3 H) hasil dari pengaruh pemikiran yang berteraskan falsafah timur dan barat, penghayatan Islam batiniah mula berkembang di kalangan umat Islam. Di antara tokoh yang paling berpengaruh ialah Husen Bin Mansur Al-Hallaj yang terkenal dengan ucapan kontroversinya  “Ana Al-Haqq Ta’ala / Akulah “Kebenaran Tertinggi” yang difahami oleh orang awam sebagai “Akulah Allah.” Ucapan seumpama ini turut diketengahkan oleh Syeikh Siti Jenar di Nusantara iaitu Manunggal ing Kawula Gusti, yaitu kepercayaan Manunggal ing (bersatunya) Kawula (“aku” atau “diri’) Gusti (dan Tuhan / Allah). Kepercayaan yang disebut sebagai Panteisme (makhluk menyatu atau ‘lebur’ di dalam Khalik) juga disebut sebagai doktrin Wahdat Al-Wujud yang sangat popular di kalangan beberapa kecenderungan sufi di Nusantara. Syeikh Abdus Samad tegas mengkritik ajaran yang kontroversi dan menjurus kepada kesesatan itu di dalam karya-karyanya; Kitabnya Hidayatus Salikin menekankan perbezaan mutlak di antara Allah dan makhluk; Kitab Tuhfah Ar-Raghibin memaparkan penolakan kepada gagasan Hulul atau menjelmanya Allah dalam wujud (diri) makhluk; dan Kitab Siyarus Salikin yang mengetengahkan bahwa kesadaran atas nafsu manusiawi adalah jalan untuk mengerti perbedaan antara zat Allah dan manusia.[32]



Kitab Sayr al-Salikin karangan Sheikh Abd al-Samad al-Falimbani bertarikh 1306 H. bersamaan 1887 M. dalam koleksi Snouck Hurgronje. (Gambar diambil dari FB Khalif Muammar pada status yang bertarikh 18 Disember 2014).

Walaupun begitu, Syeikh Abdus Samad berusaha untuk memurnikan kefahaman golongan Mulhid (sesat) yang berpegang dengan doktrin Wahdat Al-Wujud yang Panteistik dengan menawarkan gagasan Wujudiyah Muwahid iaitu keimanan dan watak pemikiran Muslim yang harus dipusatkan pada Keesaan Mutlak Allah. Contohnya Kitab Siyarus Salikin menekankan pada pengenalan nafsu manusiawi sebagai bukti ketidakberdayaan insan; dengan melatih pengendalian nafsu, manusia dapat meraih derajat kerohanian tertinggi iaitu Nafsu Kamalat [33]atau kesempurnaan insan.[34]

Syeikh Abdus Samad memberikan penekanan khusus tentang amalan hati (tasawuf) sebagai tunjang kepada segala bentuk amal di dalam Islam. Ternyata beliau menghidupkan konsep Islam yang syumul apabila di waktu yang sama memberikan penekanan yang amat besar terhadap Jihad dan segala tuntutannya. Salah satu karyanya yang penting ialah Nasihat al-Muslimin wa Tadzkirat al-Mu’minin fi Fadha’il Al-Jihad fi Sabilillah wa Karamat al-Mujahidin fi Sabilillah menyerukan pentingnya jihad terhadap musuh penceroboh dari barat dan timur yang dialaminya sendiri. Bukan sahaja perlawanan dengan segala kekuatan fizikal, bahkan umat Islam diperingatkan untuk berjihad melawan hawa nafsu, rasa takut mati, harus berani hidup, dan memajukan agama Islam. Semuanya merupakan dasar kepada Jihad Mutlak iaitu melawan musuh dan para penentang Islam. Ia gugur saat melawan serangan pasukan Siam di Pattani, Selatan Thai; yang pada masa itu diduduki oleh pasukan Siam.[35] Sangat sulit untuk menentukan tarikh wafatnya Syeikh Abdus Samad, tetapi Mal An Abdullah meyakini bahwa kesyahidan Syaikh bertepatan dengan kekalahan angkatan rakyat Pattani melawan Siam pada 1832 M. Jika berdasarkan haul Syeikh ialah pada “pada malam yang ketujuh belas daripada bulan Dzulqaidah”, jika beliau dihitung syahid pada tahun 1832, maka hari meninggalnya adalah pada hari Khamis 17 Dzulqaidah 1247 H bersamaan 19 April 1832 M.[36]

Masjid Agung Palembang yang dibina oleh Sultan Badaruddin I pada tahun 1738

Jalan masuk ke pusara Syeikh Abdus Samad

Kawasan di sekitar yang terdiri dari kebun getah

Lokasi pusara Syeikh Abdus Samad di Cenak, Ban Trab (Turab)














[1] Ahmad, Mohammed Hussain. 2017. “Islam in the Malay World: Al-Falimbani’s Scholarship.” IIUM Press. Pp 35 – 42.

[2] Muhammad, Muhammad Hassan bin Dato ́ Kerani. 1928. Tawārīkh Silsilah Negeri Kedah. Pulau Pinang: Jelutong Press. Hal. 206 – 207.

[3] .Zen, H. Muhammad, Kgs (salah seorang anak murid Syeikh Abdus Samad) , Faidhal Ihsan, 1937, tidakditerbitkan.

[4] Ibid. Hal. 12.

[5] Azyumardi Azra, “Jaringan Ulama”, dalam Abdullah, Taufik (Ed.)., Ensiklopedi Tematis Dunia Islam Jilid V,( Jakarta : Ikhtiar Baru Van Hoeve, 2002), Hal. 245

[6] Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani, Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.), Hidayatus Shalikin, (Surabaya: Pustaka Hikmah Persada, 2013), ix

[7] Ibid.

[8] Mal An Abdullah, Syaikh Abdus Samad Al-Palimbani: Biografi dan Warisan Keilmuan, Hal. 23-24

[9] Kemas Andi Syarifuddin, Hendra Zainuddin, 101 Ulama Sumsel, Hal. 38

[10] K.H.O. Gadjahnata, Sri Edi Swasono (Ed.), Beberapa Aspek Perkembangan Islam di Sumatera Selatan, (Jakarta : UI Press, 1986.), Hal. 53- 66.

[11] Bruinessen, Martin Van, Kitab Kuning, Pesantren, dan Tarekat, Bandung: Mizan, 1990.

[12] Zulkifli, Ulama Sumatera Selatan, (Palembang : Universitas Sriwijaya, 1999),Hal. 41.

[15] Mamduh, Abu Sulaiman Mahmud Said b. Muhammad Mamduh al-Qahiri al-Misri al-Shafi‘i. 1981. I‘lam Al-Qasi Wa Al-Dani Bi-Ba‘d Ma Ala Min Asanid Al-Fadani: Wahuwa Thabat Al-Allamah   Al-Mutafannin   Musnid   Al-Hijaz   Al-Shaykh   Alamaddin   Muhammad   Yasin   b. Muhammad Isa Al-Fadani Al-Makki Al-Shafi‘I. 1st ed. Kaherah: Dar Marjan li al-Tiba‘ah. Dipetik dari Muhammad Hussein Ahmad. Ibid. Pp. 15

[16] Ahdal  (al-),  Wajihuddin  Abdul  Rahman  b.  Sulaiman  b.  Yahya  al-Yamani.  1979. Al-Nafas  Al-Yamani Wa Al-Rawh Al-Rayhani Fi Ijazat Al-Qudat Bani Al-Shawkani. 1st ed. Sana’a: Markaz ad-Dirasat wa al-Abhath al-Yamaniyah. Dipetik dari Muhammad Hussein Ahmad.Ibid. Pp. 18..

[17] Ahmad, Mohammed Hussain. 2017. “Islam in the Malay World: Al-Falimbani’s Scholarship.” IIUM Press.

[18] Senarai karya-karya Syeikh Abdus Samad adalah merujuk kepada 2 naskhah penulisan jurnal ilmiah; 1. Muhammad Hussein Ahmad. Abdul Samad al-Falimbani’s Role and Contribution in the Discourse of Islamic Knowledge in the Malay World. Journal of Malay Islamic Studies, Vol 2 No.1, June 2018. Pp. 27 - 40. (Dalam kajiannya Muhammad Hussein Ahmad telah mengeluarkan tiga buah tajuk yang disangkakan sebagai tulisan Syeikh Abdus Samad iaitu Anis al-Muttaqin, Tuhfat al-Raghibin dan rengkasan al-Tuhfah al-Mursalah kepada sebuah tulisan al-Nukhbat  al-Mufdah  min  al-Rahmat al-Muhdah Alayhi al-Salat wa al-dunia min Allah; tetapi merupakan karya tokoh-tokoh lain).; 2. Arafah Pramasto, Kontribusi Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani pada Aspek Intelektual Islam di Nusantara Abad ke-18, Dinas Sosial Kota Palembang Jl. Merdeka No.26, 22 Ilir, Kec. Bukit Kecil, Kota Palembang, Sumatera Selatan arafahanakmadura@gmail.com

[19] Abdullah Mal An, Jejak Sejarah Abdus-Samad al-Palimbani, Syariah IAIN, Raden Fatah Press. 2012.

[20] Muhammad Hussein Ahmad. Abdul Samad al-Falimbani’s Role and Contribution in the Discourse of Islamic Knowledge in the Malay World.Op. cit PP. 19.

[21] Arafah Pramasto. Analisis etika ilmu pengetahuan dalam kitab hidayatus salikin karangan al-palimbani abad ke-18. DIMENSI, Vol. 9, No. 1 : 125-134 maret 2020. (Universitas Riau Kepulauan Batam).

[22] Al-Palimbani, Syaikh Abdus Shamad. Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.). 2013, Hidayatus Shalikin. Surabaya : Pustaka Hikmah Persada.

[23] Umar, Nasharuddin. 2014, Tasawuf Modern. Jakarta : Republika.

[24] Al-Palimbani, Syaikh Abdus Shamad. Kms. H. Andi Syarifuddin. Op. Cit.

[25] Arafah Pramasto, Idealisme Sosial Kemasyarakatan dalam Kitab Hidayatus Shalikin karangan Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani. Analisis: Jurnal Studi Keislaman. Lembaga Penelitian dan Pengabdian pada masyarakat Universitas Islam Negeri Raden Intan Lampung. http://ejournal.radenintan.ac.id/index.php/analisis Volume 20. No. 1, Juni 2020, h.1-18

[26] Ibid. Hal. 7

[27] Ibid. Hal.9. Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani, Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.), Hidayatus Shalikin, h. 135.

[28] Ibid. Hal. 10. Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani, Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.), Hidayatus Shalikin, h. 135.

[29] Ibid. Hal. 10. Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani, Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.), Hidayatus Shalikin, h. 167-168.

[30] Ibid. Hal. 13. Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani, Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.), Hidayatus Shalikin, h. 165.

[31] Ibid. Hal. 14. Syaikh Abdus Shamad Al-Palimbani, Kms. H. Andi Syarifuddin (Ed.), Hidayatus Shalikin, h. 123.

[32] Arafah Pramasto. Kritik terhadap pemikiran kontroversial bercorak panteistik dalam karya syaikh abdus shamad al-palimbani abad ke-18. Sindang: jurnal pendidikan sejarah dan kajian sejarah vol. 2 no. 1 (januari-juni 2020). Hal. 8 – 18.

[33] Ada tujuh nafsu iaitu Ammarah, Lawwamah, Mulhamah, Mutmainnah, Radiah, Mardiah dan Kamilah.

[34] Op. Cit., Hal. 17

Comments

Popular posts from this blog

Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: Siri IV. Singapura pasca penyerahan kpd British dan Peralihan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga(h) ke Tanjung Puteri

Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: siri I: Sultan Mahmud mangkat dijulang 1699 dan krisis waris kesultanan Johor