Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau Siri III: Singapura tergadai ke tangan British dan Pecah Empayar Johor susulan Anglo-Dutch Treaty 1824
Sejak
dari itu Singapura mula didatangi oleh para pedagang dan mereka yang ingin
menjejakkan kaki ke negeri baru Singapura. Sultan Hussein Syah juga mula
menjemput kaum kerabatnya yang datang dengan berates-ratus perahu dan mereka
membuat rumah berdekatan dengan kediaman Sultan atau Temenggung. Keadaannya
menyebabkan Sultan dan Temenggung tidak mampu untuk menanggung semua
perbelanjaan kaum kerabatnya kerana mereka semua ditanggung oleh Sultan. Mengadulah
pula Sultan kepada Farquhar yang menyuruh Sultan mengambil cukai dari
perniagaan candu yang sangat laris di Singapura. Dengan itu bertambahlah
pendapatan Sultan kepada $1600 iaitu tambahan sebanyak $800.
Apabila
Raffles Kembali dari Benggala, diadukan pula pendapatan yang diterima tetap
tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan seluruh kerabatnya di Singapura.
Raffles menawarkan agar Sultan berniaga dengan seorang tokoh perniagaan di
Benggala bernama Tuan Palmer. Namun ia ditolak oleh Sultan kerana katanya
adalah aib Sultan berniaga. Ia menimbulkan kemarahan kepada Raffles yang terus bertanya
berapakah gaji yang cukup sebenarnya. Ia dijawab oleh pengiring Sultan iaitu
sebanyak 3000 Dollar. Raffles membalas “Sepuluh ribupun tidak juga cukup, jika
dibelanjakan dengan tiada berketahuan”
Disinilah
kita melihat bagaimana British telah berjaya memerengkap golongan aristokrat
melayu di Singapura. Sultan telah menjadi ‘pegawai’ lantikan British yang
dibayar gaji bulanan berhadapan dengan tekanan kewangan kerana menanggung kaum
kerabatnya. Kaum kerabatnya pula tidak mahu mengambil peluang membina kekuatan
ekonomi dari peluang perniagaan antarabangsa yang sedang giat membangun melalui
pembukaan Pelabuhan Singapura. Kononnya berniaga itu aib kepada Sultan dan kaum
kerabatnya. Sedangkan mereka hanya bergantung hidup tanpa ikhtiar sendiri.
Walhal orang-orang kampung banyak yang teraniaya dengan kejahatan dan jenayah
dilakukan oleh kaum kerabat seperti yang digambarkan di dalam Hikayat Abdullah.
Sebermula adapun
sepeninggal Sultan Mahmud (III) sudah mangkat, maka entah dari mana-manakah
datang anak-anak raja dalam dua tiga hari singgahlah dua orang tiga orang
anak-anak raja di Padang (Kota Tinggi) itu. Setelah sampai ke tepi pantai, maka
disuruhnya membawa tombaknya ke darat meminta beras dan ayam dan barang-barang
kehendaknya. Maka Adapun kasihan orang Padang itu tersangatlah bodohnya.
Apabila ia mendengar nama Raja atau anak Raja, seperti Allah dihormatkannya
serta dengan gementar tulangnya; maka diberinyalah barang kehendaknya dengan
tiada sedikitpun dibayarnya, lalu ia pergi. Maka kemudian lagi sepuluh
limabelas hari datang pula empat lima anak raja-raja. Masing-masing pun
meminta. Ada yang dengan sendirinya naik ke darat meramu seperti penyamun;
barang yang bertemu diambilnya seperti hartanya sendiri. Maka orang yang punya
harta itu terkelip-kelip matanya, bodoh sebab takutnya akan nama anak raja;
diamlah ia. Maka anak raja yang tiada menaruh malu dan takut akan Allah dan
makhluk memakan haram, diperbuatnya barang sekehendaknya. Dan ada pula seperti
kelakuan binatang, mengejar dan merosakkan anak-anak perempuan mereka itu. Maka
belayarlah ia. Kemudian datang pula | yang lain. Maka barang kehendaknya itu
tiada boleh dikatakan tidak. Maka
jikalau tiada diadakan atau melawan, dibunuhnya dan dibakarnya rumahnya
sehingga habislah pohon-pohon nyiur mereka itu sekalian ditebangnya diambilnya
umbutnya. Maka demikianlah dibinasakan segala hamba Allah dengan zalimnya dan
aniayanya, sehingga porak-parik dan beranyut ke mana-mana meninggalkan kampung
halamannya dan ladang sawahnya membawa dirinya. Yang ada menjadi
hutang-hutangan dan hamba orang, beribu-ribu bertaburan sepanjang tempat. Maka
tinggallah kampung-kampung itu menjadi hutan rimba tempat harimau dan gajah sekarang
ini. Maka tiadakah diketahui Allah akan segala zalim dan aniaya mereka itu dan
tiadakah kelak akan dibalas-Nya segala pekerjaannya itu?[1]
Sultan
Husin Syah dan Temenggung Abdul Rahman tetaplah menerima gaji yang ditetapkan
oleh Raffles sehinggalah Crawfurd menggantikan Farquhar sebagai residen
Singapura. Gaji mula tertangguh sehingga terpaksa ditagih dari sebulan ke sebulan
dan hanya dijanjikan sahaja. Akhirnya seperti yang diduga akibat tertekan
dengan hutang dan perbelanjaan yang tidak terkawal oleh kaum kerabat dan
‘orang-orang yang dekat’ dengan istana, Sultan dengan mudah dibujuk perdaya oleh
Crawford. Memang itulah agenda sebenar British untuk mengambil alih Singapura
sepenuhnya. Setelah tiga bulan gaji tertangguh, maka disampaikan berita kononnya
pejabat EIC di Benggala memberi katadua kepada Sultan iaitu menyerahkan
Singapura kepada pentadbiran British sepenuhnya atas alas an sukar untuk
membahagi kuasa mentadbir di antara Kompeni dan Sultan. Jika Sultan bersetuju
untuk menyerahkan pentadbiran Singapura sepenuhnya kepada British maka Sultan
akan diberi gaji 1300 ringgit dan Temenggung 700 ringgit pada setiap bulan
sehingga akhir hayat. Sultan juga akan diberi hadiah sebanyak 30,000 ringgit
dan Temenggung sebanyak 15,000. Jika Sultan bersetuju untuk berpindah dari
Singapura maka akan diberi hadiah tambahan sebanyak 30,000 ringgit lagi.
Setelah
menimbangkan semalaman, Sultan menerima tawaran tersebut, mungkin kerana
terdesak akibat perbelanjaan yang tidak terkawal dan hutang keliling pinggang.
Diwartakan surat penyerahan Singapura seperti berikut:
“Bahawa ini surat pada
menyatakan maka adalah kita Sultan Husin Syah bin Almarhum Sultan Mahmud Syah,
Sultan Johor dan Pahang, iaitu Sultan di negeri Singapura mengaku dalam surat
ini bahawa sesungguhnya maka adalah dengan suka-suka hati kita telah
menyerahkan negeri Singapura ini serta dengan perintah-perintahnya sekali
kepada | Kompeni Inggeris, adanya. Syahadan lagi adalah pula perjanjian Kompeni
kepada Sultan: Maka jikalau kiranya Sultan hendak berpindah dari negeri
Singapura ini ke negeri lain melainkan Kompeni memberi hadiah tiga puluh tiga
ribu ringgit dan kepada Temenggung dupuluh enam ribu delapan ratus ringgit. Dan
lagi, adalah perjanjian Kompeni Inggeris memberi belanja kepada kita pada
sebulan seribu tiga ratus ringgit besar dan kepada Temenggung pada sebulan
tujuh ratus ringgit. Bermula Adapun pemberian Kompeni Inggeris yang tersebut
pada sebulan-sebulan itu, iaitu selagi ada hayat Sultan sahaja. Bahawa surat
perjanjian ini diperbuat dalam negeri Singapura kepada dua hari bulan Agustu
tahun Masihi 1824.” [2]
Selesai
sahaja surat itu ditanda tangani, ditembakkanlah Meriam sebanyak 12 pucuk di
Bukit larangan tanda sukacitanya British atas penyerahan Singapura oleh Sultan.[3] Keesokan harinya datanglah
orang suruhan Sultan untuk mengambil duit yang dijanjikan. Setelah ditolak hutang-hutang kepada Raffles
tinggallah duapuluh ribu ringgit. Kemudian ditolak pula hutang-hutang pada
Kompeni dari jumlah yang berbaki itu. Kemudian beberapa hari selepasnya
dibuatlah pengumuman berkeliling kampung;
“Bahawa hendaklah
diketahui oleh segala orang dalam negeri ini, maka Adapun segala hukum dan
perintah negeri Singapura ini semuanya telah pulangkan kepada Kompeni Inggeris.
Maka seperti Sultan Husin Syah dan Temenggung itu sekali-kali tiadalah lagi
berkuasa. Maka jikalau tiada dengan perintah polis, tiadalah boleh Sultan
membuat sebarang sesuatu.” [4]
Barulah
Sultan tersedar bahawa baginda sudah kehilangan kuasa di negerinya sendiri.
Ibarat kata-kata al Marhum Buya HAMKA “Maka lepaslah Singapura dari tangan
kita, laksana burung. TAHAN ……… dia kedinginan lepas dari sangkar” [5]
Dalam
pada itu pertikaian kawasan di antara wilayah pengaruh Belanda dan British ini
diputuskan dalam Perjanjian London 1824 di mana Singapura menjadi emporium
British dan Belanda menguasai seluruh kepulauan Riau-Lingga di selatan Pulau
Singapura. British juga menyerahkan Bangka, Belitung dan Bangkahulu kepada
Belanda sebagai imbalan penyerahan Melaka kepada British.
Perjanjian London/Anglo-Dutch Treaty 1824[6]
Perjanjian London/Anglo-Dutch
1824 telah memecahkan Kerajaan Johor-Riau kepada Kesultanan Pahang,
Kesultanan Johor dan Singapura di bawah British; dan Kesultanan Indragiri dan
Kesultanan Riau-Lingga kepada Belanda.
Perjanjian
Anglo-Belanda pada tahun 1824 adalah ekoran dari pertapakan British di
Singapura pada tahun 1819. Belanda mendakwa perjanjian di antara Stanford
Raffles dan Tengku Long adalah tidak sah dan Kesultanan Johor adalah di bawah pengaruh
Belanda. Persoalan hak Belanda untuk berdagang di India di bawah jajahan takluk
British dan bekas tanah jajahan Belanda di India juga menjadi titik
perselisihan utama di antara Kalkata (EIC) dan Batavia (VOC). Perundingan untuk
menyesaikan pertikaian di antara British dan Belanda dimulakan pada 20 Julai
1820. Walaupun Belanda bertegas supaya British meninggalkan Singapura, namun
akhirnya Belanda mengakui perkembangan Singapura di bawah pentadbiran British
tidak dapat disekat dan bersedia untuk melepaskan haknya di utara Selat Melaka
dan di Benua Kecil India sebagai ganti untuk menguasai kepulauan di selatan
Selat Melaka dan Bengkulu. Akhirnya perjanjian London aka Anglo-Dutch di
tanda tangani pada 23 Mac 1824.
Terma
Perjanjian.[7]
Perjanjian
ini memutuskan beberapa pertikaian di antara British dan Belanda dari segi hak
perniagaan di tanah jajahan kedua-dua kuasa imperialis.
- British diberikan hak untuk berniaga di
Kepulauan Maluku khususnya di Ambon, Banda dan Ternate.
- Belanda menyerahkan semua jajahan
takluknya di benua kecil India sejak 1609 dan apa-apa yang berkaitan
dengan wilayah tersebut.
- British menyerahkan semua lojinya di
Benteng Marlborough di Bengkulu dan semua hak miliknya di Sumatera kepada
Belanda dan tidak membina sebarang pengkalan di pulau tersebut atau
membuat perjanjian dengan mana-mana pemimpin tempatan di sana.
- Belanda menyerahkan kota Melaka dan tidak
akan membina sebarang pengkalan di Semenanjung Tanah Melayu atau membuat
perjanjian dengan mana-mana pemimpin tempatan di sana.
- British menamatkan penentangannya ke atas
pendudukan Belanda di Pulau Biliton.
- Belanda menamatkan penentangannya ke atas
pendudukan British di Singapura.
- British bersetuju untuk tidak membuka pengkalannya
di pulau Karimun atau Batam, Bintan, Lingin (Lingga?) atau mana-mana pula
uke selatan dari Selat Singapura, atau untuk membuat perjanjian dengan
mana-mana pemerintah di pulau-pulau tersebut.
Semua
pertukaran ini mengambil tempat pada 1 Mac 1825. Mereka bersetuju untuk
menyerahkan Jawa kepada Belanda, menurut Konvensyen Jawa pada 24 Jun 1817 di
samping bayaran sebanyak 100,000 pound sterling oleh Belanda di London
sebelum akhir 1825. Perjanjian ini diratifikasi oleh British pada 30 April 1824
dan Belanda pada 2 June 1824.
[1] Ibid.
Hal. 300 – 301.
[2] Ibid. Hal. 240
[3] Peristiwa penyerahan Singapura kepada
Stanford Raffles ini boleh dirujuk antaranya; Buckley, C. B. (1984). An anecdotal history of old times in
Singapore, 1819–1867.
Singapore: Oxford University Press.;
Kwa, C. G., Heng, D., & Tan, T. Y. (2009). Singapore, a 700-year history: From
early emporium to world city. Singapore:
National Archives of Singapore.; Turnbull, C. M. (2009). A history of modern Singapore, 1819–2005. Singapore: NUS Press.; Trocki, C.
A. (2007). Prince of pirates: The temenggongs and
the development of Johor and Singapore, 1784–1885. Singapore: NUS Press.; Wake, C. H.
(1975). Raffles and the rajas: The founding of Singapore in Malayan and British
colonial history. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic
Society, 48(1), 65–70. Retrieved from JSTOR.)
[4] Op. cit. Hal. 241.
[5] Hamka, Dari Perbendaharaan Lama; Op.
cit. Hal. 190.
[6] http://self.gutenberg.org/articles/Anglo-Dutch_Treaty_of_1824. Ruj. Lain: H.R.C. Wright, "The Anglo-Dutch
Dispute in the East, 1814-1824." Economic History Review 3.2
(1950).; Webster, Anthony. (1998) Gentlemen Capitalists: British
Imperialism in Southeast Asia, Tauris Academic Studies, New York.; Treaty between His Britannic Majesty and
the King of the Netherlands, respecting territory and commerce in the East
Indies. (1825).
In The Edinburgh Annual
Register, for 1824, 17(III), p. 25. Edinburgh: James Ballantyne and
Co.; Mills, L. A. (2003). British Malaya 1824–67 (p.
86– 87). Selangor, Malaysia: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
[7]
Anglo-Dutch Treaty, World Heritage Encyclopedia.
Comments
Post a Comment