Tradisi batu Megalith di Negeri Sembilan - Apakah ada hubungan dengan Islam?

 

Tradisi Megalitik di Negeri Sembilan

Satu yang menarik dalam membincangkan sejarah kedatangan orang Minangkabau di Negeri Sembilan berkait rapat dengan keberadaan ‘batu hidup’ atau budaya megalitik. Apakah megalitik ini tradisi setempat atau dibawa masuk atau diperkenalkan oleh orang Minangkabau yang berhijrah ke Negeri Sembilan dan Melaka. Pentarikhan karbon batu megalit di Pulau Sebang, Melaka menunjukkan ia berusia sekitar 800 tahun (1172M).[1] Bahkan tradisi megalitik ini dikesan sekitar 7,000 hingga 10,000 sebelum masihi sehingga zaman logam (tembaga). Tradisi megalitik yang terdapat di Asia Tenggara dianggarkan benlanjutan sehingga kurun ke 15 M atau lebih lewat lagi.[2] Batu megalit terutama dari jenis menhir (batu panjang) adalah sangat besar dan berat sehingga puluhan tan. Ada kemungkinan tradisi ini diperkenalkan oleh orang Minang kerana lokasinya di tanah adat persendirian. Tradisi batu megalitik bermula sebelum kedatangan Islam, namun tidak mustahil jika masyarakat masih mempercayainya sebagai mempunyai semangat atau tuah yang tertentu terutama untuk kesuburan tanaman padi dan juga untuk memohon restu kepada nenek moyang.[3] Ekskavasi beberapa situs batu megalith di Melaka menunjukkan ia bukan tanah perkuburan kerana tidak ditemui sebarang tanda yang sedemikian.[4] Namun ini tidak menolak kemungkinan ia adalah perlambangan untuk menghormati ruh leluhur, di mana upacara-upacara tertentu dilakukan sehingga kurun ke 20M.

Perbahasan apakah ia mewakili batu perkuburan juga sangat tidak mungkin kerana anutan agama Islam di kalangan masyarakat Minangkabau adalah bermula sekitar kurun ke 15M terutama pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah Melaka. Jika ia merupakan tanda perkuburan, sudah tentu ia mempamirkan hiasan batu nisan yang agak maju. Batu megalit yang dikaitkan dengan Syeikh Ahmad Makhdum bertarikh 1467 juga mempunyai ragam hias di antaranya kalimah Allah yang dipercayai diukir kemudian pada batu menhir yang asal (Ruj. Bab mengenai perkembangan dakwah di Melaka dalam Fajar Islam di Nusantara jilid I). Ini menunjukkan jauh sekali ia melambangkan tanah perkuburan dan dibina untuk amalan tertentu meskipun masyarakat sudah beragama Islam.[5]

Satu perkara yang boleh dibahaskan juga ialah tradisi Megalitik adalah ciri masyarakat animis. Orang – orang Minangkabau yang merantau ke Negeri Sembilan pada gelombang yang kedua iaitu bermula kurun ke 14 M ialah fasa di mana ranah Minang berada di bawah penguasaan Majapahit yang diwakili oleh Adityawarman. Meskipun beragama Buddha Vajrayana dengan unsur-unsur Hindu (Shaivis), ia tidak kelihatan bagi masyarakat Minangkabau.[6] Adityawarman sebagai wakil Majapahit menjalankan pemerintahan terpusat yang tidak memberi ruang otonomi kepada wilayah-wilayah di bawah kedaulatannya. Mungkin ini yang menimbulkan keresahan kepada masyarakat Minangkabau yang hidup bermuafakat. Apabila Adityawarman meninggal dunia pada tahun 1375, nagari-nagari mengistiharkan otonomi dalam sebuah persekutuan Minangkabau dan Pagaruyung hanya menjadi symbol kebudayaan.[7] Catatan pada prasasti Surosao II tidak membayangkan Anggawarman sebagai penguasa wilayah Minangkabau menggantikan Adityawarman.[8]

 

Islam tersebar ke Minangkabau pada kurun ke 15 dan pada kurun ke 16 muncul institusi Raja Selo Tigo dengan tiga raja iaitu Raja Alam pada kedudukan tertinggi di samping Raja Adat dan Raja Ibadat.[9] Penghijrahan ke Negeri Sembilan terus berlaku pada fasa tersebut di mana Islam menjadi sebahagian dari institusi pemerintahan di Minangkabau.

Jika orang-orang Minangkabau yang berhijrah lebih awal ke Negeri Sembilan menganut agama Buddha-Vajrayana sudah tentu mereka membawa bersama unsur-unsur dan perlambangan agama tersebut. Namun ia tidak dapat dikesan pada tapak-tapak batu megalit yang banyak di Negeri Sembilan.

Keberadaan prasasti berbahasa sanskrit dengan tulisan kawi dapat dikesan di Sumatera Barat sewaktu era pemerintahan Adityawarman tetapi tidak di Negeri Sembilan. Batu bersurat hanya dikesan pada makam Syeikh Ahmad Makhdum/Majnun bersama batu megalit dengan ragam hias pelbagai unsur alam dan haiwan iaitu burung merak, kuda, ular,  ikan / katak dan suluran bunga. Ciri-ciri ini bukan perlambangan mana-mana versi agama Buddha. Bahkan terpahat kalimah Allah pada salah satu batu megalit (batu pedang) tersebut. Tiada kepastian apakah ia merupakan ragam hias asal atau dipahat kemudian sebagai ragam hiasan tambahan.  

                             


Batu megalit dengan pelbagai ragam hias di Keramat Sungai Udang, Pengkalan Kempas.

(Dari kiri; batu kemudi, batu sudu dan batu pedang). Pada batu pedang dihias dengan ukiran perkataan ‘ALLAH.’


        

                          Pagarruyung I                          Pagarruyung IV                      Pagarruyung VI

                    (Batu pasir kuarsa)                        (Batu Andesit)                        (Batu Andesit)

Dua dari beberapa prasasti yang terdapat di Kompleks Prasasti Adityawarman (berada di pinggir jalan di antara Pagarruyung – Batu Sangkar). Prasasti sebanyak lapan buah ini dinamakan sebagai Prasasti Pagaruyung I hingga VIII. Prasasti seperti ini banyak terdapat di Kabupaten Tanah Datar (Sumatera Barat) di mana 22 Prasasti dapat dikesan. Sebahagian besarnya adalah berasal dari Adityawarman yang memerintah dari awal abad sehingga akhir seperempat abad ke 14 M. Prasasti yang dipamerkan adalah berasal dari batu andesit yang terbentuk dari magma yang naik ke permukaan bumi hasil dari letusan gunung berapi dan segera membentuk hablur (mengeras dengan segera); ada juga yang dibuat dari batu pasir endapan (sedimentary) yang terdiri dari kuarsa (quartz). Nota pen. Batu megalith yang terdapat di Negeri Sembilan dan Melaka adalah dibuat dari batu granit yang sangat padu dan terbentuk dari magma yang membeku di dalam bumi; banyak terdapat di pinggir sungai dan kaki bukit. (Batuan di Sumatera Barat yang terdiri dari formasi gunung berapi dan batuan di Negeri Sembilan adalah terdiri batu plutonic (granit) mempengaruhi jenis batu yang digunakan dalam tradisi batu Megalitik dan menhir yang terdapat di kedua tempat. Ini membayangkan bahawa batu yang digunakan di Negeri Sembilan adalah berasal setempat dan bukan dibawa dari Sumatera Barat. Ruj. http:///www.iagi.or.id/indonesia_geology/


 Bergantung kepada tafsiran, budaya megalitik adalah tradisi sebelum Islam seperti yang berlaku di ranah Minang itu sendiri. Batu megalit memang wujud sebelum Islam yang disebut sebagai batu tagak yang merupakan tempat pemujaan ruh nenek moyang. Ia juga menjadi tempat berkumpul masyarakat untuk musyawarah penduduk kampung yang disebut sebagai ‘medan berpaneh’. Tradisi menanam batu megalit berterusan setelah Islam berkembang kerana pengaruh kepercayaan turun temurun sejak zaman animisme.

Lokasi batu megalit yang banyak di Negeri Sembilan (300 situs) dan di Melaka (81 situs) setakat ini telah dibuktikan bukan merupakan tanah perkuburan melalui ekskavasi yang dilakukan untuk projek pembangunan.[10]  Tapak-tapak megalitik di Negeri Sembilan ialah di Jelebu, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau. Di Melaka pula ialah di Alor Gajah iaitu di Pulau Sebang, Tabuh Naning, Simpang Ampat, Tanjung Rimau, Melekek, Melaka Pindah hingga ke Repah dan Jasin.

 


Tapak megalith yang berbentuk ‘alignment’ [11] banyak di jalan Persekutuan di antara Kuala Pilah dan Seremban (khususnya di antara Ampang Tinggi dan Terachi).

 


Tapak megalith yang terdapat di perkarangan Masjid Kampung Terusan, Juasseh. Tapak tersebut menempatkan beberapa kubur penduduk yang lebih muda usianya

 


Tapak megalith yang menempatkan beberapa pasang batu megalith ‘allignment’ di sebuah tanah adat (keluarga sebelah ibu penulis) di Tanjung Ipoh.


 

Batu menhir disebuah tapak megalith yang banyak dikesan di sepanjang jalan Persekutuan yang menghubungkan Kuala Pilah dan Seremban. Batu menhir yang terbesar biasanya dinamakan ‘ibu’ dan diberikan gelaran ‘Datuk tua’.(Tapak megalitik mempunyai nama tertentu seperti Datuk Nisan Tinggi, Datuk Serban Kuning, Datuk Mata Fatimah Bunga Tanjung, Tok Sari dan Moyang Salleh) [12]

Dr Hafidzi Mohd Noor

[1] Abd  Aziz  Rashid,  Lembah  Megalith  di  Kuala  Pilah,  Kertas  kerja  seminar  Batu  Megalith,  21 November 2017, Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan.

[2] Evans, I.H.N. 1921. A Grave and Megalitic in Negeri Sembilan with Account of some Excavation. Journal of Federated Museum 23:155-173.; Hasanuddin. 2015. Kebudayaan Megalitik di Sulawesi Selatan dan Hubungannya dengan Asia Tenggara. Thesis Ph.D. Universiti Sains Malaysia.

[3] Adnan Jusoh, Yunus Sauman@Sabin, Ruzairy Arbi &  Zuliskandar Ramli. Kebudayaan Megalith di Semenanjung Malaysia dari Perspektif Sosiobudaya dan Etnoarkeologi. Jurnal Arkeologi Malaysia April 2018, Vol. 31, No. 1, hal. 1-18.

[4] Mohd Supian Sabtu. 2005. Arkeologi dan masyarakat di Melaka: Data awalan berdasarkan ekskvasi terkini Megalitik di Taboh Naning. Kertas Kerja Seminar Masyarakat Melayu Melaka Meniti Zaman. Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Ayer Keroh, Melaka, 3 Oktober. Antara ekskavasi yang tidak menemukan rangka manusia ialah di Kampung Baru Tampin (1982), di Pulau Sebang, Tampin oleh Prof Zuraina Majid (1989) dan di Kampung Serdang, Kuala Pilah oleh Dr Kamarul Bahrin Bin Buyung (1992), Ruj.

http://lmns.ns.gov.my/images/PDF/Seminar_Batu_Megalith/Sesi_Pagi/PEMBENTANGAN-III-HAJI-IESNORDIN.pdf. Dilawati: 15 Mei 2020.:  Batu menhir di tapak megalitik di Sumatera Barat ada yang dikesan merupakan kubur, antaranya di Bawah Parit.di mana dijumpai tujuh set rangka manusia yang dikebumikan dengan kesan liang lahad. Rangka yang ditemui pula mengadap barat laut dan kaki mengunjur ke Tenggara (arah kiblat). Perbahasan lanjut mengenai apakah kubur ini milik orang Islam atau hanya mengikuti tradisi Islam pada zaman transisi kepada Islam tidak menemukan kesimpulan yang tuntas kerana pentarikhan karbon menunjukkan ia lebih lama dari zaman Rasulullah SAW. Yondri, Lutfi, 2014. Situs Bawahparit: Jejak Penguburan Masa Transisi. Lektur keagamaan 12 (2), pp. 515-542.

[6] Ada sesuatu yang menarek tentang arca Bhairava (Tuhan Hindu yang menakutkan; dalam Shaivism, cabang agama Hindu ia dikaitkan dengan dewa Shiva yang memusnahkan)) yang ditemui di Padangroco, Sumatera Barat; di mana Adityawarman Digambar dengan raut wajah yang penuh dengan kebengisan dengan tangan kanan siap memegang pisau untuk menghadapi musuh. Menurut De casparis ini adalah perlambangan terhadap ancaman dari timur. Ancaman yang dimaksudkan itu ialah pengaruh agama Islam dari Aceh (Pasai-Samudera). Maka Adityawarman menggunakan pengaruh kerohanian untuk menghadapi penyebaran agama Islam di kalangan masyarakat melayu/Minangkabau pada pertengahan kurun ke 15. Sumber Bambang Budi Utomo dan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman.’Zaman Klasik di Nusantara: Tumpuan Kajian di Sumatera. Dewan Bahasa & Pustaka. 2008. Hal. 92. Ulasan Pen. Majapahit cenderung untuk melihat Islam sebagai ancaman dan pernah menyerang Pasai, pusat dakwah Islam sekitar tahun 1350 dan menghancurkannya. Begitu juga serangan Majapahit ke atas Giri yang merupakan pusat dakwah pada pertengahan kurun ke 14. Apakah polisi yang sama menghalang perkembangan Islam di Minangkabau pada kurun ke 14 dan hanya berkembang  dengan kelemahan dan berakhirnya Kerajaan Majapahit pada kurun ke 15 M.?

[7]

[8]

[9]

[10] Muhamad  Mahfuz  Nordin.  1997.  Megalitik  (Batu  Hidup)  dan  kaitannya  dengan  masyarakat Minangkabau  di  Negeri  Sembilan  dan  Melaka:  Sudut  Etno-Arkeologi. Jurnal  Arkeologi Malaysia. Bil. 10: 24-94.; Zuraina  Majid.  1993.  Archaeological  excavation  of  three  Megalithic  sites  in  Negeri  Sembilan  and Melaka. PURBA 12: 1-53. Nota: Masyarakat di Negeri Sembilan ramai yang mengaggap tapak megalit adalah perkuburan nenek moyang. Usaha untuk memetakan taburan tapak megalit di Negeri Sembilan dengan kedudukan GIS boleh dirujuk dalam   Zuliskandar Ramli, Shamsuddin Ahmad, Natasha Edreena Mohamad Nasruddin, Siti Salina Masdey, Nur Farriehah Azizan, Muhammad Shafiq Mohd Ali. Pemetaan Tapak Megalitik di  Luak Tanah Mengandung, Negeri Sembilan Darul Khusus. Jurnal Arkeologi Malaysia September 2019, Vol. 32, No.2, hlm. 77-126.

[11] Alignment ialah corak batu megalit yang disusun dalam baris yang kemas. Evans, I.H.N. 1921. Op. cit..

Comments

Popular posts from this blog

Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: Siri IV. Singapura pasca penyerahan kpd British dan Peralihan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga(h) ke Tanjung Puteri

Syeikh Abdus Samad al Palimbani (di kenang di Palembang, Kedah dan Pattani)

Asal mula Singapura terpisah dari Kerajaan Johor-Riau: siri I: Sultan Mahmud mangkat dijulang 1699 dan krisis waris kesultanan Johor