Si Bongkok Tanjung Puteri
Si
Bongkok Tanjung Puteri
Kedududkan Tanjung Belungkor
Lokasi Pusara Si Bongkok Tanjung Puteri (https://goo.gl/maps/gfX6tN4sqEzma9kx8)
Apa yang ada di Tanjung Belungkur? Di sinilah
bersemadinya seorang pahlawan bernama si Bongkok yang gugur mempertahankan
watan (negeri Johor) dari pencerobohan dan telunjuk penjajah British. Kesah Si
Bongkok Tanjung Puteri ini dipopularkan oleh Shaharom Husain dalam pementasan
drama Si Bongkok Tanjung Puteri di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada 4 dan 5
Ogos, 1960.[1]
Si Bongkok yang tidak sempurna fizikalnya dari
lahir mempunyai kelebihan dari sudut keberanian dan kemahiran tempur. Setelah
Sultan Hussein Syah meninggalkan Singapura pada tahun 1835 (mangkat di Melaka; makamnya
di perkarangan masjid Tengkera), puteranya Tengku Ali cuba untuk mewarisi
Kesultanan Johor yang telah diserahkan oleh British kepada anak kedua
Temenggung Abdul Rahman iaitu Temenggung Daeng Ibrahim. Maka si Bongkok telah bertindak
mengganggu perkapalan asing yang melalui Selat Singapura dan memasuki perairan
Selat Tebrau. Kegiatan Si Bongkok meliputi perairan Johor dari Kukup hingga
Pengerang. Pada tahun 1855 pusat Kerajaan Johor dipindahkan dari Teluk Belanga(h),
Singapura ke Tanjung puteri.[2] Si
Bongkok mahu British dinyahkan dan Johor tidak lagi mengikut telunjuk penjajah.
British ketika itu memunggah hasil mahsul Johor seperti gambir, lada hitam,
damar, rotan dan hasil hutan yang lain untuk dibawa ke Singapura sebelum
diekspot ke Eropah.
Sokongan Si Bongkok kepada Tengku Ali di tentang
oleh Kesultanan Johor dengan dokongan British. Berlakulah siri siri pertempuran
di laut di antara angkatan Si Bongkok dengan Angkatan laut Johor yang dipimpin
oleh Daeng Alek.. Si Bongkok dengan pasukannya yang mencecah 500 orang ternyata
tidak mudah diatasi oleh angkatan laut Johor meskipun mendapat bantuan logistik
dan senjata British. Walaubagaimanapun akhirnya Si Bongkok tewas juga di tangan
abangnya Tengku Puteh dan mayatnya ditemui di pantai Tanjung Belungkur.[3]
Penduduk kampung menyempurnakan janazahnya dan dikebumikan di kaki bukit
Tanjung Puteri yang berhampiran (di Tanjung Belungkur; bukan Tanjung Puteri
yang dijenamakan sebagai Johor Baharu pada pertengahan kurun ke 19 M).[4]
Si Bongkok dalam pementasan drama (atau sandiwara
pada zaman itu) dan buku Shaharum Husain digambarkan sebagai seorang ketua
lanun yang menentang pihak berkuasa negeri dan mendatangkan kekacauan. Pada
bahagian ‘Sepatah Kata’ buku si Bongkok Tanjung Puteri dinyatakan kesan dari kegiatan
ketua lanun si Bongkok yang bermaharajalela iaitu terkorbannya Daeng Alek, panglima
harapan Yang Mulia Daeng Ibrahim, Temenggung Johor. Pusaranya terletak di Taman
Merdeka, Tanjung Puteri, Johor Bahru. Dengan tewasnya si Bongkok dan
terhapusnya kegiatan lanun di Selat Tebrau maka Queen Victoria bagi pihak
kerajaan British menghadiahkan sebilah pedang keemasan kepada Temenggung Daeng
Ibrahim. Perkataan yang tertulis pada pedang itu ialah
“Kepada T.M. 1845 (pen.1855?) bahawa diwasa itu inilah hadiah daripada Tuan
Lieut. Of the Bath Governor yang memerintah tiga buah negeri ia-itu Pulau
Pinang, Singapura dan Melaka kepada Temenggong Johor Seri Maharaja akan menjadi
suatu tanda hidup oleh sebab jasa Seri Maharaja membinasakan segala perompak
di-endahkan oleh Government Hindia adanya.”[5]
Sewaktu pementasan sandiwara di buat di Victoria
Memorial Hall, Singapura pada 30 November, 1 dan 2 Disember, 1960 anjuran Badan
Kesenian dan Kebudayaan, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu Singapura,
Yang Berhormat Menteri Pendidikan Singapura, Yong Nyuk Lin telah menyampaikan
ucapan pendahuluan:
“Cerita si Bongkok yang dikarang oleh saudara Shaharom Husain dan
dihidangkan oleh Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu ialah satu cerita
yang berhubung rapat dengan sejarah Tanjung Puteri yang sekarang bernama Johor
Baharu, dan berhubungan rapat dengan sejarah Temenggung Daeng Ibrahim
pemerintah Negeri Johor masa itu yang berusaha menghapuskan ancaman perompak
laut di Laut Johor dan Singapura.”[6]
Kulit buku Si Bongkok Tanjong Puteri yang dihasilkan oleh Shahrom Husain
yang diterbitkan oleh Pustaka Melayu, North Bridge Road, Singapura (Sepatah
kata oleh Penggubah dan Penyusun bertarikh Oktober 1960). Sumber rujukan
http://malaycivilization.com.my/omeka/items/show/95937.
Imej kulit buku dan versi pdf diperolehi dari Koleksi Khas Yang Que Yee Sumber rujukan http://malaycivilization.com.my/omeka/collections/show/13
(Dilawati pada 22 Disember 2020).
Berita Minggu edisi 4 September 1960 memberikan
penghargaan oleh penulis khasnya di Johor Baharu, di antaranya “….. untuk
menghidupkan kembali sejarah kepala perompak lanun itu”
Dalam senarai watak yang dibariskan, si Bongkok
dinyatakan sebagai seorang ‘hulubalang gagah berani dan berperangai kasar.
Bercita-cita hidup bebas tidak hendak diperintah oleh sesiapa pun.’ Sedangkan
tiga watak utama yang mewakili pemerintah diberikan gambaran yang sangat
positif. Datok Timur (pembesar negeri) adalah ‘seorang yang taat perentah raja
dan penyabar’. Panglima Puteh digambarkan ‘seorang yang kacak, segak, dan gagah
berani serta penyabar. Hidup cintakan keamanan, kemakmoran dan kebahgiaan.’
Daeng Alek digambarkan ‘seorang yang gagah perkasa dan taatkan perintah dan
kadang menjalankan kerja melebihi dari perintah ketua.’[7]
Di dalam dialog pada babak pertama (dari empat
babak yang dipentaskan) di ‘dedahkan jenayah yang dilakukan oleh si Bongkok’
seperti berikut:
Daeng Alek: Mengapa lama Datok belum balik, Panglima? Tidak kah takut bahaya bencana?
Panglima Puteh: Tidak. Ramai orang mengiringkan Datok menyiasat
kematian. Sekumpulan orang dari Pahang ke Teluk Belanga, dibunuh lanun Pulau
Sejahat Tekong Singapura.
Daeng Alek: Lagi dibunuh lanun, Panglima? Bukankah bulan lepas,
dagangan dari Air Gemuruh, Tanah Merah ke Johor. Kampung dirampas. Laki-laki,
perempuan dan kanak-kanak ditawan, dibunuh di Tanjung Pengerang?
Jelas segala label negatif diberikan kepada si
Bongkok yang kesahnya dinukilkan oleh Shaharom Husain lewat dialog sandiwara.
Persoalannya benarkan si Bongkok yang dimaksudkan sebagai lanun dalam dialog
seterusnya membunuh penduduk laki-laki, perempuan dan kanak-kanak yang tidak
berdosa? Sekiranya si Bongkok berjuang untuk mengusir penjajah dari tanah
airnya, mengapa perlu dia mengganas dan membunuh rakyat yang tidak berdosa.
Jelaslah dialog yang disusun bertujuan untuk memburuk-burukkan Si Bongkok
supaya penonton dan rakyat membenci seorang tokoh pejuang yang mempertahankan
maruah tanah air lebih dari serratus tahun yang lalu.
Si Bongkok digambarkan sebagai seorang penjahat
yang melakukan pelbagai jenayah. Ada tafsiran Si Bongkok digambarkan sedemikian
secara tersirat sebagai satu perlambangan ke atas perjuangan menentang penjajah.
Kebebasan yang di inginkan oleh Si Bongkok bermaksud beliau tidak rela tanah
airnya di kuasai oleh penjajah. Maka beliau adalah watak seorang wira yang
diketengahkan secara tersirat untuk bahan renungan masyarakat ketika itu. Namun
gambaran si Bongkok sebagai antigonis dan anti kerajaan/istana dan instrumennya
begitu ketara sehingga sukar untuk mempertahankan tanggapan sedemikian. Apatah
lagi ulasan dari pelbagai media dan institusi yang menganjurkan pementasan
sandiwara jelas menangkap moral dari kesah si Bongkok supaya jangan sewenang-wenangnya
melanggar adat, undang-undang dan agama.
Si Bongkok atau si Bongkok Tanjung Puteri ialah cerita sejarah yang
boleh disimpulkan dengan perkataan ‘Bersultan di mata, beraja di hati’ dan
benar sungguh bahawa perbuatan seperti ini tidak memberi jasa sebaliknya
berkatalah Datuk Timur, “Kalau mahu aman, jangan lepas dari tiga undang-undang,
undang-undang adat, undang-undang negara dan undang-undang ugama…”[8]
Pada pandangan penulis, penceritaan si Bongkok
Tanjung Puteri tidak mirip pendekatan Tun Sri Lanang di dalam menukilkan kesah
Puteri Gunung Ledang. Al Marhum Buya HAMKA menafsirkan ia sebagai kiasan untuk
menegur penguasa yang hidup dalam kemewahan dan menzalimi rakyat. Begitu juga
pengarang Hikayat Hang Tuah yang menggambarkan watak Hang Jebat yang menuntut
keadilan terhadap saudaranya Hang Tuah yang difitnah dan dijatuhkan hukuman
oleh Sultan tanpa usul-periksa. Genre sastera sejarah klasik di atas menjentik
pemikiran masyarakat supaya bersikap kritikal terhadap pemerintah. Sandiwara si
Bongkok jauh sekali bertujuan untuk membangkitkan kesedaran sedemikian. Bahkan
untuk mendapat tempat dalam liputan dan media arus perdana, pementasan dibuat
tempat rasmi kerajaan yang berprestij seperti Dewan Jubli Intan, Johor Baharu
dan Victoria Memorial Hall, Singapura. Si Bongkok dipaparkan sebagai musuh dan menentang
pemerintah negeri Johor, tanpa sedikitpun menyentuh peranan penjajah yang
menjadi sasaran sebenar Si Bongkok. Mungkin juga negara ketika itu baru merdeka
(karya dihasilkan pada tahun 1960) dan premis yang diambil adalah untuk
menanamkan taat setia kepada pemerintah dengan memaparkan satu kesah sejarah sebagai
iktibar. Namun bagi penulis tidak wajar seorang pejuang yang berjasa dan
berkorban untuk tanah airnya di palit dengan tuduhan melampau supaya ia dibenci
dan menjadi sempadan kepada rakyat jelata. Bagi mereka yang memahami perjalanan
sejarah tanah air mungkin akan berfikir lebih jauh untuk mengutip beberapa pesanan
penting yang tersirat dari perjuangan si Bongkok Tanjung Puteri.
Abdul Latib Taib dalam karya novel sejarahnya yang
diterbitkan pada tahun 2007 telah mengangkat watak Si Bongkok sebagai wira yang
perlu dikenang dan dihargai. Novel beliau telah berjaya mengetengahkan si
Bongkok sebagai pejuang kemerdekaan Tanah air dari penjajah. Setelah lebih 60
tahun negara merdeka, wajarlah al Marhum si Bongkok dibersihkan dari tuduhan ‘ketua
lanun’ dan ‘perompak’ dan diletakkan sebaris dengan pejuang-pejuang tanah air
yang mengorbankan jiwa dan raga untuk membebaskan negeri dari pencerobohan dan
penjajahan sepanjang zaman. Berikut ialah luahan isi hati si Bongkok yang cuba
diselami oleh penulis Abdul Latib Taib. Ia lebih tepat dalam menggambarkan jiwa
seorang pejuang yang hatinya melimpah ruah dengan cinta terhadap tanah air.[9]
“Walaupun aku miskin, aku tidak akan menadah tangan kepada Inggeris.
Tangan ini belum pernah berjabat salam dengan bangsa penjajah. Perut ini belum
pernah di isi dengan makanan yang diberikan oleh penjajah tanah airku. Aku
benci pada mereka yang menjadi tali barut penjajah. Aku tidak akan memberi Kerjasama
kepada sesiapa yang menjadi sahabat orang puteh”
Rumusan oleh Abdul Latip Taib mengembalikan
semula nama baik Si Bongkok yang telah ditohmah dengan begitu sekali ketika
negara baru mencapai kemerdekaan.
Si Bongkok Tanjung Puteri mengisahkan perjuangan Si Bongkok menentang
Inggeris dan mereka yang menjadi talibarut Inggeris. Kesah ini
berlatarbelakangkan sejarah negeri Johor, yang satu ketika dahulu dilanda pergolakan
politik. Pada masa itu berlaku perebutan kuasa antara Sultan Ali dan Temenggung
Abdul Rahman. Inggeris mengambil kesempatan dan cuba bertapak di Johor. Si
Bongkok sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah airnya. Namanya
menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri. Namun sekuat manapun semangatnya
menentang penjajah, dia tetap dianggap penderhaka.
Sebuah Syarikat animasi dan multimedia, Animagis
Sdn Bhd telah menghasilkan animasi Si Bongkok Tanjung Puteri yang terdiri dari
13 episod (23 minit setiap satu). TV3 @ MHI (Malaysia Hari Ini) telah membuat
liputan sedutan di balik tabir pembikinan Animasi Si Bongkok Tanjung Puteri
oleh sempena Merdeka ke 57 pada 27/8/2014.[11] Syarikat
yang diterajui oleh sekumpulan anak muda ini telah mengangkat si Bongkok dengan
menggunakan teknologi media terkini supaya generasi muda mengenali tokoh
pejuang kemerdekaan ini dengan lebih dekat lagi.
Tanjung Puteri[12]
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri
Lagu
Tanjung Puteri mengimbau keindahan Selat Tebrau dari Tanjung Puteri (Johor
Bahru). Di penghujung liriknya disebut tentang pusara si Bongkok di lereng
bukit, di tepi pantai Tanjung Puteri. Lagu ini menunjukkan bahawa pusara Si
Bongkok adalah peninggalan sejarah yang menyayat hati apabila dipadankan dengan
irama lagunya yang sayu dan mendayu. Lagu malar segar ini didendangkan sejak
sekian lama oleh beberapa orang penyanyi antaranya Rosiah Chik (1931 – 2006), Abdullah
Chik (1934 – 95), Othman Hamzah (1961 -
) dan Aziz Ahmad.
[1]
Dr Shaharom Husain (1919 –
2008) seorang tokoh guru (anugerah tokoh
guru Negara 1984), sejarawan dan budayawan Johor yang prolifik telah menukilkan
skrip drama (sandiwara) ‘Si Bongkok Tanjung Puteri’ pada tahun 1961; Berita
Harian mempromosikan karya-karya Shaharom Hussein iaitu Si Bongkok Tanjung
Puteri dan karya-karya lain dalam Anon., Hal. 5 Iklan Ruangan 1, 20 Oktober
1962, Hal. 1, Iklan Ruangan 3, 30 Mei, 1963, Hal. 4, Iklan Ruangan 2, 11 Julai
1963, Hal. 1, Iklan Ruangan 3, 19 Mac, 1964).
[2] Tanjung Puteri asalnya adalah sebuah
perkampungan nelayan. Apabila kesultanan Johor berada di bawah pengaruh
Temenggung Daeng Ibrahim, kerja-kerja pembangunan mula dirintis di Tanjung
Puteri dari pusat pentadbiran Kesultanan Johor iaitu dari Teluk Belanga,
Singapura pada tahun 1855. Secara rasminya Tanjung Puteri Ia diasaskan pada 10
Mac 1855 apabila kesultanan Johor diambil alih oleh Temenggung Daeng Ibrahim
dari Tengku Ali (kecuali jajahan Kesang, Muar) melalui campurtangan British, (Nota.
Perjanjian Johor di tanda tangani di antara Temenggung Daeng Ibrahim dan
Tengku Ali di kendalikan oleh Gubenor Negeri-negeri Selat, William Butterworth.
Tengku Ali diberi pampasan sebanyak Spanish Dollar 5,000 ribu dan elaun bulanan
sebanyak Spanish Dollar 500. Ruj. http://eresources.nlb.gov.sg/history/events/87147014-94bd-4a77-a26f-e1cc8ef02359 Dilawati pada 22 Disember 2020). Tanjung
Puteri dinamakan Iskandar Puteri. Temenggung Daeing Ibrahim mangkat pada 31
Januari 1862 dan digantikan oleh Temenggung Abu Bakar. Dengan kepesatan
pembangunan dan sistem pentadbiran moden, Iskandar Puteri diberi nama Johor
Bahru dalam upacara gilang-gemilang. Pada tahun 1889 pusat pentadbiran Negeri
Johor dipindahkan dari Teluk Belanga ke Johor Bahru. (Maklumat latarbelakang
Majlis Perbandaran – Kini Bandaraya; dan sejarah Johor Bahru) Ruj. http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/752/3/Majlis
Bandaraya Johor Bahru [Sumber Internet].pdf
(Tarikh dilawati 22 Disember 2020).
[3] Kesah yang lebih terperinci mengenai Si
Bongkok Tanjung Puteri diwariskan dari cerita lisan sejak turun temurun. Si
Bongkok mempunyai seorang abang iaitu Tengku Puteh yang berpihak kepada
Temenggung Abdul Rahman yang disokong oleh British selepas Sultan Hussein Syah
hilang kuasa di Singapura dan berpindah ke Melaka. Si Bongkok menyokong Tengku Ali
anak Sultan Hussein Syah sebagai waris kesultanan Johor. Di samping itu menurut
sumber lisan juga si Bongkok dan Tengku Puteh juga sama menaruh hati kepada
seorang gadis bernama Tanjung. Kesah kepahlawanan si Bongkok Tanjung Puteri ini
diolah oleh novelis sejarah iaitu Abdul Latip Talib, Ruj. Abdul Latip Taib, Si Bongkok Tanjung Puteri. PTS
Publication & Distributors Sdn. Bhd. 2007.
[4] Menurut seorang penduduk setempat iaitu
En. Ramzdan Sakyon, moyangnya yang bernama Uteh Jantan yang menemui mayat si
Bongkok. Orang-orang kampung telah mengebumikannya di kaki Bukit Tanjung Puteri
(di Tanjung Belungkor). Seorang lagi penduduk Pn. Asmah Ahmad, kubur si Bongkok
ditandakan oleh bapa mertuanya arwah Pak Saidon Wahab pada 23.1.1981 (Tarikh
ditandakan) dengan menanam dua batang kayu cengal sebelum digantikan dengan
nesan batu. Sumber: https://m.facebook.com/aduka.pbj/photos/makam-si-bongkoknama-si-bongkok-tanjung-puteri-selalu-disebut-apabila-lagu-tanju/602801553084550/?locale=ms_MY (dilawati pada 21 Disember 2020).
[5] Si-Bongkok Tanjung Puteri. Sepatah Kata
oleh Pengubah dan Penyusun, Bukit Senyum, Johor Baharu. Hal. II, Pustaka
Melayu, Singapura. Oktober 1960.
[6] Ibid. Hal. III.
[7] Ibid.
Hal. VII.
[8] Ibid. Hal. VI
[9] Abdul Latip Taib, Si Bongkok Tanjung
Puteri. PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. 2007.
[10] https://www.animagis.com.my/animation/si-bongkok-tanjung-puteri-tv-series/.
(Dilawati pada 23 Disember 2020)
[11] (https://www.youtube.com/watch?v=YsSoJM_Qv0Q).
(Dilawati pada 23 Disember 2020)
[12] Lagu dicipta oleh Ali bin Othman (cucu
kepada Dato’ Bentara Luar Johor dari Warisan Othman. Tanjung Puteri yang
dimaksudkan ialah Johor Bahru pada hari ini. Lagu ini pernah didendangkan oleh Rosiah
Chik dan Abdullah Chik pada tahun-tahun 1970 an.









Comments
Post a Comment